- Berita
- Global
- Peraturan Terhadap Kenderaan Berkuasa Bateri Diketat!

Nampaknya, China akan memperketat peraturan terhadap kenderaan berkuasa bateri apabila negara itu mewajibkan pengeluar automotif mematuhi piawaian keselamatan bateri yang lebih ketat mulai Julai 2026.
Langkah itu diambil bagi mengurangkan risiko kebakaran dan letupan dalam sektor kenderaan elektrik ( EV).
Untuk itu, Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat (MIIT) sudah mengeluarkan satu set standard teknikal baharu untuk bateri yang digunakan dalam EV dan hibrid plug-in.

Peraturan baharu itu menetapkan ujian mandatori yang lebih ketat, termasuk keperluan agar pengeluar memastikan bateri tidak terbakar atau meletup dalam tempoh masa tertentu semasa ujian, sekali gus mengurangkan risiko kepada pemandu, penumpang dan harta di sekeliling akibat fenomena 'thermal runaway' – punca paling lazim kebakaran bateri.
Standard berkenaan dilaporkan telah diluluskan oleh pihak berkuasa pada Mac lalu namun hanya diumumkan secara terbuka pada minggu ini.
Ia menggantikan versi sebelumnya yang diperkenalkan pada 2020 yang hanya mensyaratkan amaran lima minit sekiranya bateri EV berisiko terbakar.
Selain itu, peraturan baharu ini turut memperkenalkan ujian tambahan membabitkan kesan pelanggaran dan ketahanan terhadap pengecasan pantas.
Jualan EV dan hibrid plug-in – yang secara kolektif dikenali sebagai kenderaan tenaga baharu (NEV) – telah mengatasi jualan kenderaan petrol secara berselang-seli sejak tahun lalu di China.
Gallery
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/

