- Berita
- Global
- Salah Laku Semasa Majlis Sosial, Eksekutif Honda Letak Jawatan Sebelum Dikenakan Tindakan
Salah Laku Semasa Majlis Sosial, Eksekutif Honda Letak Jawatan Sebelum Dikenakan Tindakan

Shinji Aoyama melepaskan jawatan sebagai Naib Presiden Eksekutif (EVP) Honda
Pengeluar kenderaan dari Jepun, Honda Motor Co., mengesahkan bahawa salah seorang eksekutif tertingginya telah meletakkan jawatan berikutan dakwaan salah laku yang timbul baru-baru ini.
EVP Shinji Aoyama Undur Diri
Eksekutif yang dimaksudkan ialah Shinji Aoyama, salah seorang daripada dua Naib Presiden Eksekutif (EVP) Honda dan juga ahli lembaga pengarah syarikat. Menurut laporan, Aoyama didakwa terlibat dalam perlakuan tidak wajar ketika menghadiri satu majlis sosial.
Walaupun butiran penuh insiden tersebut tidak didedahkan, pihak pengurusan Honda memaklumkan bahawa tindakan disiplin telah dirancang susulan siasatan yang dilakukan oleh jawatankuasa audit dalaman. Namun begitu, Aoyama yang berusia 61 tahun memilih untuk meletakkan jawatan sebelum tindakan tersebut diambil.
Antara Individu Penting Elektrifikasi Honda

BEV pertama syarikat, Honda e:N1
Aoyama bukanlah figura biasa dalam Honda. Beliau telah menyertai syarikat itu sejak tahun 1986, mengetuai operasi di Amerika Utara, bahagian motosikal dan memainkan peranan penting dalam usaha peralihan Honda ke arah elektrifikasi. Sebelum meletak jawatan, beliau melapor terus kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Toshihiro Mibe.
CEO Turut Mengambil Tanggungjawab
Sebagai tanda tanggungjawab terhadap insiden ini, CEO Toshihiro Mibe turut mengumumkan bahawa beliau akan memotong 20% gajinya untuk dua bulan akan datang. Beliau turut memaklumkan bahawa struktur pengurusan baharu akan diperkenalkan dalam masa terdekat, dipercayai bagi memperkukuh tadbir urus dan integriti dalam organisasi.
Dalam kenyataan kepada pemegang saham, Honda menyatakan, “Adalah amat dikesali apabila seorang pemimpin dalam organisasi yang sepatutnya menjadi teladan dari segi pematuhan undang-undang serta menghormati hak asasi manusia, telah dikaitkan dengan dakwaan yang bertentangan dengan nilai-nilai tersebut.”
Implikasi Terhadap Imej Syarikat
Walaupun Honda bertindak pantas, kes ini dijangka akan memberi kesan kepada reputasi jenama itu, yang ketika ini turut berdepan prestasi saham yang kurang memberangsangkan serta kegagalan rundingan penggabungan dengan Nissan sebelum ini.
Baca: Honda Minta CEO Nissan Letak Jawatan, Hentikan Teknologi e-Power
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
A Bachelor of English Language and Literature graduate with an obsession for the finer details. Sofea uses her background in translation to decode the technicalities of automotive innovation. She is dedicated to delivering impactful, meticulously researched articles that provide a narrative far beyond the spec sheet. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv