- Berita
- EV
- Lebih 6,000 Tempahan di Malaysia, Kini e.MAS 7 Uji Pasaran Singapura
Lebih 6,000 Tempahan di Malaysia, Kini e.MAS 7 Uji Pasaran Singapura
Selepas lebih sedekad, jenama automotif kebanggaan Malaysia, Proton, kini kembali ke pasaran Singapura menerusi sesi pratonton khas kenderaan elektrik (EV), Proton e.MAS 7, di The Car Expo 2025 hujung minggu ini.
Kemunculan model ini hadir tidak lama selepas penampilan sulung antarabangsa di Nepal pada akhir Mac lalu, dan ketika Proton e.MAS 7 dinobat sebagai EV paling laris di Malaysia dalam tempoh empat bulan pertama 2025.
Pengedar Rasmi: VINCAR Group
Untuk pasaran Singapura, Proton memilih VINCAR Group sebagai pengedar rasmi. Syarikat itu bakal memacu operasi runcit bagi barisan EV Proton di bawah jenama e.MAS, dengan fokus kepada keperluan pemandu bandar moden.
Singapura bukan sekadar pasaran biasa, negara ini berada di tempat kedua dunia dari segi KDNK per kapita berdasarkan kuasa pembelian, menjadikannya sasaran strategik bagi Proton mengukuhkan kedudukan globalnya.
Selari Dengan Visi Mobiliti Hijau Singapura
Kehadiran Proton ke Singapura juga tepat pada waktunya. Pasaran EV di republik ini menunjukkan pertumbuhan kukuh, melonjak daripada 12% pada 2022 kepada 18% pada 2023 dengan unjuran 55% menjelang 2027.
Selain itu, kerajaan Singapura merancang membina 12,000 titik pengecas EV di 2,000 kawasan perumahan HDB menjelang 2025, dan 60,000 unit menjelang 2030. Ini sejajar dengan matlamat negara itu untuk mencapai 100% kenderaan bebas karbon menjelang 2040.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong
Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong, menyifatkan kemunculan e.MAS 7 di Singapura sebagai permulaan fasa penting dalam strategi pengembangan antarabangsa syarikat.
“Kami yakin e.MAS 7 akan diterima baik oleh pengguna Singapura kerana reka bentuknya yang moden, ciri-ciri pintar dan sesuai untuk kegunaan bandar,” ujar beliau.
Reka Bentuk Mewah, Teknologi Terkini
Kabin Proton e.MAS 7
Proton e.MAS 7 tampil dengan rekaan aerodinamik yang mencatatkan angka pekali seretan (drag coefficient) serendah 0.275. Dua varian ditawarkan iaitu Prime dan Premium.
Untuk pengecasan, e.MAS 7 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 80 kW untuk Prime dan 100 kW untuk Premium, kedua-duanya memerlukan 20 minit untuk pengecasan dari 30% hingga 80%.
Dari segi kelengkapan, e.MAS 7 hadir dengan ciri seperti paparan infotainmen bersaiz 15.4 inci, kluster instrument 10.2 inci, sistem audio Wanos 16 pembesar suara oleh Flyme Sound, 6 beg udara dan sebagainya.
Model ini akan ditawarkan dalam enam warna menarik termasuk Platinum Silver, Turquoise Green dan Moyu Black.
Setakat ini, lebih 6,000 tempahan e.MAS 7 telah diterima di Malaysia, membuktikan peningkatan minat rakyat tempatan terhadap EV tempatan.
Di The Car Expo 2025, model ini akan dipamerkan di tapak pameran D25, Dewan 3 & 4 Singapore EXPO.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv