- Berita
- EV
- Xpeng Mona M03 Dilancar Di China, Boleh Gerak 580km, Ada Turing AI ADAS

Xpeng baru sahaja melancarkan versi tertinggi salun EV mampu miliknya, Xpeng Mona M03 Max di China, baru-baru ini.
Berbanding dengan varian berspesifikasi rendah, Mona M03 Max menerima pelbagai penambahbaikan, termasuk sistem bantuan pemanduan Turing AI yang baharu.
Dari segi reka bentuk, Xpeng Mona M03 Max tidak menunjukkan perubahan ketara pada reka bentuk luaran berbanding model Mona M03 yang lain.


Ini kerana ia masih mengekalkan gaya badan sedan liftback empat pintu selain sesuai dengan status spesifikasi tertingginya.
Selain itu, Mona M03 Max dilengkapi dengan bumbung kaca panorama yang lebih panjang dengan lapisan penapis UV sebanyak 99.9%, manakala penutup but belakang jenis liftback yang akan berfungsi secara automatik.
Bagaimanapun, lebih banyak perubahan dapat dilihat apabila memasuki bahagian dalam kereta, di mana Mona M03 Max yang baharu ini hadir dengan tempat duduk hadapan yang telah dinaik taraf dan kini menawarkan sokongan lumbar. Tempat duduknya boleh dilaraskan secara tiga hala.


Ia sebenarnya bertujuan untuk memperbaiki postur dan mengurangkan keletihan semasa pemanduan jarak jauh. Ciri teknologi lain termasuk sistem Tianji Smart Cockpit yang menampilkan skrin infotainmen tengah terapung bersaiz 15.6 inci dengan kemas kini perisian over-the-air (OTA), sistem pengudaraan elektrik penuh gaya Xpeng G6, dan banyak lagi.
Dari segi mekanikal, Mona M03 Max baharu dibina atas seni bina Xpeng Fuyao iaitu sama seperti model standardnya, dengan motor elektrik tunggal yang dipasang di hadapan (FWD) mampu menghasilkan 215 HP (160 kW) dan 250 Nm.
Kuasa disalurkan melalui pek bateri LFP 62.2-kWh yang memberikan jarak CLTC sehingga 580 km.
Bagi pengecasan, Xpeng mendakwa Mona M03 Max boleh dicas dari 30% hingga 80% hanya dalam masa 25 minit, namun angka sebenar untuk pengecasan AC dan DC belum diumumkan buat masa ini.
Dengan pekali seretan yang sangat rendah iaitu hanya 0.194 Cd, Mona M03 Max merupakan antara sedan EV pengeluaran paling aerodinamik di pasaran.


Seperti yang dinyatakan, Mona M03 Max yang baharu ini menggunakan sistem bantuan pemanduan Turing AI terkini daripada Xpeng yang menawarkan beberapa fungsi utama ADAS.
Tidak seperti sistem dalam model Xpeng lain, Mona M03 Max tidak menggunakan sensor LiDAR, sebaliknya bergantung kepada tujuh kamera definisi tinggi dan dua cip Nvidia Orin-X.
Di pasaran asalnya di China, Xpeng Mona M03 Max dijual pada harga 155,800 yuan (RM92,905), iaitu kira-kira 36,000 yuan (RM21,467) lebih mahal berbanding varian standard Mona M03.

Dengan model sedia ada, Xpeng mencatat jualan bulanan sekitar 15,000 unit,.
Sehubungan itu, Xpeng berharap varian baharu Mona M03 Max ini dapat membantu jenama tersebut mencapai sasaran jualan tahunan melebihi 200,000 unit untuk siri Mona pada tahun ini.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/