- Berita
- Kereta Baru
- Hyundai Santa Fe 2025 Didedah, Ada 3 Varian, Gaya Macho, Tegap Dan Kemas
Hyundai Santa Fe 2025 Didedah, Ada 3 Varian, Gaya Macho, Tegap Dan Kemas
Selain Hyundai Tucson 2025, Hyundai Motor Malaysia turut mendedahkan Hyundai Santa Fe 2025, pagi tadi. Model generasi kelima ini sebenarnya telah lama dinantikan sejak dua tahun lalu.
Kehadirannya di pasaran tempatan sebenarnya telah memendekkan kitaran model facelift sebelumnya dimana ia adalah satu perkembangan yang boleh dianggap positif.
Untuk pasaran Malaysia, Hyundai Motor Malaysia merancang untuk menawarkan Santa Fe generasi kelima ini dalam tiga varian.
Yang pertama adalah varian asas iaitu Prime, varian pertengahan Prestige yang masing-masing hadir dengan konfigurasi 7-tempat duduk. Kedua-dua varian ini berkongsi rangkaian kuasa hibrid siri-paralel (self-charging) yang sama.
Ia menggunakan enjin petrol turbo 4-silinder 1.6 liter (Gamma II) bersama motor elektrik hibrid tambahan. Gabungan kuasa ini membolehkan ia menghasilkan kuasa setakat 231 hp dan 367 Nm yang memacu roda hadapan menerusi transmisi automatik 6-kelajuan.
Seterusnya ialah varian tertinggi Calligraphy 6-tempat duduk, yang dilengkapi enjin petrol turbo 4-silinder 2.5 liter T-GDi Theta II. Varian ini mampu menghasilkan 281 PS dan 422 NM dan digandingkan dengan kotak gear automatik DCT 8-kelajuan serta sistem pacuan semua roda (AWD) HTRAC Hyundai.
Dari segi dimensi, Hyundai Santa Fe 2025 berukuran 4,830 mm (panjang), jarak roda 2,815 mm, lebar 1,900 mm, dan tinggi 1,720 mm. Berbanding model sebelumnya, ia kini 45 MM lebih panjang, 35 MM lebih tinggi, serta mendapat tambahan 65 mm pada jarak roda
.
Reka bentuk luaran Santa Fe baharu ini sebenarnya telah dijelaskan secara terperinci dalam laporan pelancaran global sebelum ini.
Model ini jelas menampilkan perubahan drastik dengan rekaan lebih berkotak dan bersegi, sekali gus memberi imej lebih lasak, tegap dan tampan.
Melihat bahagian hadapannya, anda boleh melihat ia hadir dengan lampu berbentuk H, rim aloi sebesar 21 inci, ada pemegang pintu jenis tersembunyi manakala lampu belakangnya juga jenis hadir dengan bentuk H, sisipan bampar sewarna badan, flare fender heksagon serta overhang hadapan pendek..
.
Untuk kabinnya, kami tidak dapat melihatnya dengan lebih terperinci kerana cermin model pratonton digelapkan.
Namun berdasarkan siaran akhbar yang diterima, model ini dikatakan hadir dengan skrin instrumen digital bersaiz 12.3 inci, sistem infotainmen 12.3 inci, ada wireless Apple CarPlay, Android Auto, pengecas wayarles, kerusi berventilasi, kerusi kulit, interior Bose Sound system.
Selain itu, terdapat pelbagai ruang simpanan termasuk dua kotak sarung tangan untuk penumpang hadapan, serta tuil gear gaya Ioniq pada tiang stereng.
Turut hadir ialah tempat duduk penumpang hadapan Relaxation Seat dengan fungsi baring satu sentuhan dan ada perehat kaki manakala tempat duduk baris ketiga juga boleh dibaringkan.
Antara kelengkapan lain ialah terdapat cermin pandang belakang digital, paparan HUD 12 inci, pelbagai port USB-C di semua barisan tempat duduk dengan kuasa hingga 27 watt, dan banyak lagi.
Sementara itu, ruang butnya dikatakan seluas 628 liter namun apabila kerusi belakang direbahkan, ruangnya boleh bertambah kepada 1,949 liter.
Mengenai ciri keselamatannya, ia sebenarnya cukup sarat dengan ciri keselamatan. Antaranya terdapat : 10 beg udara, ADAS, Bantuan Perlanggaran Depan, Bantuan Elak Titik Buta, Bantuan Kekal Lorong, Bantuan Elak Lintasan Belakang, Kawalan Stop&Go Highway Driving Assist 2 (HDA 2), Pemantau Sekeliling (SVM), Rear Occupant Alert (ROA), Safe Exit Assist (SEA) dan banyak lagi.
Lebih menarik, Hyundai Santa Fe 2025 juga dilengkapi dengan keupayaan pemanduan separa autonomi Tahap 2 iaitu setanding dengan SUV premium tiga baris seumpamanya dari segi saiz dan mungkin juga harga.
Selain itu, Carz.com.my difahamkan bahawa model yang akan dibawa masuk ke Malaysia adalah unit import sepenuhnya (CBU) sebelum versi pemasangan tempatan (CKD) dilaksanakan di kilang Inokom, Kulim, Kedah, bermula hujung tahun ini.
Bagaimanapun buat masa ini, harganya juga tidak didedahkan.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/