- Berita
- Pandu Uji
- [PANDU UJI] Hyundai Santa Fe 1.6 Turbo Hybrid Max – Bergaya, Jimat & Praktikal
[PANDU UJI] Hyundai Santa Fe 1.6 Turbo Hybrid Max – Bergaya, Jimat & Praktikal
Walaupun versi baharu Hyundai Santa Fe generasi kelima sudah dilancarkan di Korea dan Singapura, pasaran Malaysia masih lagi ‘setia’ dengan model generasi keempat versi facelift.
Ketiadaan model generasi terbaru di pasaran negara kita buat masa ini tidak bermakna kita patut ‘bersugul’ kerana versi generasi keempatnya tidak kurang daya tarikannya. Ini terbukti melalui sesi pandu uji varian 1.6 Turbo Hybrid Max selama beberapa hari baru-baru ini.
Apa yang menarik dan apa yang kurang? Teruskan membaca untuk kupasannya…
1. Rekaan yang Moden dan Elegan
Walaupun bukan generasi terkini, rekaan facelift Santa Fe ini masih 'mencengkam'. Garis badan yang menyerlah dan lampu hadapan yang tirus seolah-olah memberikan pandangan tajam membuatkannya kelihatan cukup menonjol lebih-lebih lagi dengan badan berwarna putih seperti unit yang kami uji ini, sangat terserlah aura elegannya.
2. Ruang Kabin yang Praktikal untuk Keluarga
Tempat duduk barisan ketiga (paling belakang) sesuai untuk kanak-kanak atau dewasa berbadan kecil.
Pendingan hawa (kiri) dan kemudahan pengecasan (kanan) khas untuk penumpang belakang.
Ciri mewah Boss Switch khas untuk penumpang tempat duduk depan (kiri) dan balutan kulit untuk tempat duduk (kanan)
SUV ini ditawarkan dalam versi konfigurasi tiga baris tempat duduk yang membuatkannya sempurna untuk kegunaan keluarga. Bagaimanapun, ruang barisan ketiga agak terhad, hanya selesa untuk kanak-kanak atau dewasa yang berbadan kecil.
3. Kelengkapan Canggih untuk Varian Max
Untuk varian Max yang lebih premium berbanding varian Plus, beberapa ciri tambahan menarik diberikan seperti tempat duduk depan dengan ciri pengudaraan, paparan meter digital 12.3 inci, papar pandu (HUD), sistem pencahayaan ambien dan bukaan pintu but belakang secara automatik.
Ciri standard yang ditawarkan adalah inverter 220 volt di barisan tempat duduk yang kedua, kawalan pendingin hawa dua zon dengan corong pendingin hawa khas untuk penumpang belakang, sistem kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, pad pengecas tanpa wayar dan sebagainya.
Yang menariknya lagi, Hyundai turut menyediakan tayar ganti bersaiz penuh di bawah lantai ruang but.
4. Gandingan Kuasa Turbo & Hibrid yang Efisien
Model ini hadir dengan enjin petrol 1.6L turbo yang digandingkan dengan motor elektrik untuk menghasilkan kuasa gabungan 227 hp (230 ps) dan 350 Nm. Kuasa disalurkan kepada roda hadapan melalui transmisi automatik enam kelajuan.
Sepanjang ujian selama empat hari merangkumi pemanduan bandar dan lebuh raya, Santa Fe berjaya mencatat penggunaan bahan api serendah 7.2 liter untuk setiap 100 km yang hampir menyamai angka rasmi 6.9 liter/100 km.
Yang menariknya, angka ini berjaya dicapai tanpa perlu jadi 'terlalu baik' semasa memandu, kerana kebanyakan masa jentera ini dipandu tanpa menggunakan mod ‘Eco’. Ini membuktikan kecekapan sistem hibrid Santa Fe yang bukan sahaja efisien tetapi turut memberikan pengalaman pemanduan cukup lancar.
5. Sebuah Jentera yang Serba Boleh
SUV ini hadir dengan pelbagai pilihan mod pemanduan dan fungsi Hill Descent Control (HDC), menjadikannya sesuai untuk pelbagai situasi. Walaupun tidak direka untuk menempuhi laluan off-road, keupayaannya lebih daripada lengkap untuk kegunaan harian dan perjalanan jarak jauh.
6. SUV Tinggi, Selesa Tapi ‘Ada Harga yang Perlu Dibayar’
Sebagai sebuah SUV keluarga, jelas ia 'tercipta' untuk keselesaan dan bukannya untuk pemanduan agresif. Seperti mana SUV berbadan tinggi (high-ride) yang lain, ada kelemahan yang tidak dapat dielakkan. Antara yang paling ketara adalah olengan badan atau body roll yang jelas terasa ketika mengambil selekoh laju, sedikit understeer, serta rasa stereng elektrik yang agak hambar. Bukan isu besar untuk kebanyakan pemandu biasa, tetapi jika anda mencari SUV dengan karakter pemanduan yang 'bertenaga', Santa Fe mungkin bukan untuk anda.
7. Ciri Keselamatan ADAS yang Komprehensif
Santa Fe turut dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) yang komprehensif, membolehkannya menawarkan tahap pemanduan separa autonomi yang tinggi. Antara yang paling menonjol ialah fungsi Blind-Spot View Monitor (BVM), ciri unik yang hanya ditawarkan pada model Hyundai dan Kia.
8. Pakej Waranti yang Menarik
Hyundai Sime Darby Motors menawarkan waranti kenderaan selama 5 tahun atau 300,000 km serta waranti bateri hibrid selama 8 tahun tanpa had perbatuan. Cukup lama dan komprehensif.
Persoalannya: Berbaloi Atau Tidak?
Model yang dipasang secara tempatan (CKD) di kilang INOKOM, Kulim, Kedah ini ditawarkan di pasaran pada harga yang kompetitif, RM215,888 (tanpa insurans) dan berbaloi apabila dinilai dari pelbagai segi seperti tahap kecekapan bahan api, keselesaan, kelengkapan dan rekaannya yang agak menyerlah.
Pada pendapat kami, Hyundai Santa Fe 1.6 Turbo Hybrid Max cukup menarik untuk dipertimbangkan terutamanya untuk anda yang kurang berminat dengan jenama China tetapi inginkan sesuatu yang lebih premium tanpa merobek poket.
Spesifikasi Hyundai Santa Fe 1.6 Turbo Hybrid Max
ENJIN | ICE: Petrol 1.6 liter 4 silinder turbo HEV: 1x e-motor |
TRANSMISI | Automatik 6 kelajuan, FWD |
KUASA | 230 PS @ 5,500 RPM |
TORK | 350 NM @ 1,000 RPM |
0-100 KM/J | 8.9 Saat |
V-MAX | 185 KM/J |
PENGGUNAAN BAHAN API | 7.2 litres/100 KM (Hasil pandu uji) 6.9 litres/100 KM (Angka rasmi) |
BERAT | N/A |
HARGA | RM215,888 |
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv