- Berita
- Berita Auto
- Sah! Aerotrain KLIA Bakal Operasi 1 Julai Ini," - Loke
Kementerian Pengangkutan mengesahkan Perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan kembali beroperasi semula mulai 1 Julai ini selepas lebih setahun dihentikan bagi kerja naik taraf sistem dan keselamatan.
Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata, ujian teknikal telah memasuki fasa akhir dan operasi hanya akan dimulakan selepas menerima kelulusan penuh daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Beberapa ujian penting termasuk kesiapsiagaan kecemasan (Emergency Response Plan) akan dilaksanakan dalam beberapa hari ini bersama pasukan keselamatan dan kakitangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB),” katanya.
Malah, dua penanda aras utama iaitu Fault-Free Run (FFR) dan Final Careful Inspection telah berjaya disempurnakan dengan mematuhi sepenuhnya spesifikasi teknikal yang ditetapkan oleh APAD.
FFR membabitkan operasi tren pertama sejauh 2,000 kilometer tanpa sebarang gangguan teknikal, manakala dua lagi tren masing-masing menamatkan 1,000 kilometer operasi tanpa gangguan. Ini membuktikan sistem ini sudah stabil dan bersedia untuk digunakan secara langsung,” katanya.
Setiap tren mempunyai kapasiti membawa sehingga 270 penumpang bagi satu perjalanan dan direka untuk operasi fleksibel, khususnya semasa waktu puncak apabila dua tren akan beroperasi serentak.
Anthony menjelaskan bahawa tren ketiga disediakan sebagai tren simpanan untuk digunakan jika berlaku kerosakan atau semasa waktu puncak tertentu seperti musim cuti atau sambutan perayaan.
Dalam tempoh penyelenggaraan sebelum ini, MAHB telah menyediakan bas pengantara dari terminal utama ke bangunan satelit. Perkhidmatan tersebut akan diteruskan buat sementara waktu sebagai langkah sokongan tambahan.
“Walaupun Aerotrain akan kembali beroperasi, perkhidmatan bas pengantara masih dikekalkan sebagai pelan mitigasi sehingga sistem Aerotrain stabil sepenuhnya,” katanya.
Difahamkan, penangguhan operasi sebelum ini dari suku pertama tahun ini ke Mei dan kini ke Julai adalah berdasarkan hasil ujian teknikal yang memerlukan penambahbaikan.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/