- Berita
- Global
- Toyota GR LH2 Racing Concept Didedahkan, Guna Sistem Hibrid Hidrogen

Perlumbaan 24 Jam Le Mans edisi ke-93 menyaksikan kemunculan beberapa model istimewa terbaru dan salah satunya adalah daripada Toyota yang hadir dengan GR LH2 Racing Concept.
Model konsep ini merupakan generasi seterusnya untuk hypercar hidrogen Toyota sebelum ini, GR H2, yang kini hadir dengan rekaan lebih agresif dan sistem kuasa hibrid hidrogen yang serba baharu.
Rekaan Lebih Aerodinamik

Dari segi rupa, GR LH2 menampilkan persamaan jelas dengan GR H2 dan juga Toyota GR010 Le Mans Hypercar (LMH) versi hibrid yang digunakan dalam perlumbaan Le Mans. Walaupun beberapa elemen rekaan dikekalkan, model baharu ini mempunyai wajah hadapan yang lebih ‘tajam’ atau aerodinamik dengan lampu LED lebih kecil, komponen ambilan udara sisi baharu, serta spoiler belakang lebih besar lengkap dengan sirip tambahan.

Walaupun reka bentuk bahagian bumbung dan cermin sekitar kabin hampir sama, GR LH2 memiliki saiz keseluruhan badan lebih besar berbanding GR010 LMH pada ukuran 5,100 mm panjang dan 2,050 mm lebar. Perbezaan ketara lain adalah corak livery perlumbaan baharu yang menggabungkan warna putih dan biru, jauh berbeza daripada warna tema gabungan merah-putih-hitam GR sebelum ini.
Teknologi Kuasa Hibrid Hidrogen yang Inovatif


Toyota GR LH2 Racing Concept (kiri) & Toyota GR010 Hybrid Le Mans Hypercar (kanan)
Toyota masih belum mendedahkan maklumat penuh mengenai sistem trenkuasa LH2, namun ia dikatakan menggabungkan enjin berkuasa hidrogen dengan sistem hibrid, mungkin menggunakan teknologi daripada GR010 LMH.
Sebagai perbandingan, GR010 menggunakan enjin petrol V6 turbo kembar 3.5 liter berkuasa 671 hp dipadankan dengan motor elektrik di hadapan, yang telah membantu Toyota meraih banyak kejayaan dalam perlumbaan ketahanan.
Lebih daripada sekadar model pameran di Circuit de la Sarthe, GR LH2 mencerminkan usaha berterusan Toyota dalam mencapai neutral karbon melalui pelbagai penyelesaian teknologi. Toyota menekankan bahawa selain kenderaan elektrik bateri, teknologi lain seperti hibrid, hidrogen dan bahan api neutral karbon juga penting untuk masa depan lestari.
Pendekatan ini bertujuan mengurangkan risiko dengan tidak bergantung sepenuhnya pada satu teknologi sahaja.
Aspirasi Toyota di Le Mans
Toyota telah melakukan beberapa ujian perlumbaan dengan konsep perlumbaan neutral karbon, antaranya GR Corolla H2 yang menyertai siri perlumbaan touring Super Taikyu di Jepun dan beberapa perlumbaan ketahanan di Asia. Pelancaran GR LH2 juga bertepatan dengan ulang tahun ke-40 penyertaan pertama Toyota dalam perlumbaan ikonik Le Mans.

Untuk edisi tahun ini, Toyota berhasrat menamatkan dominasi Ferrari dengan dua jentera GR010 LMH, mengekalkan barisan pemandu yang sama seperti tahun lalu bagi merebut kemenangan yang bakal mengukir sejarah.

Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
A Bachelor of English Language and Literature graduate with an obsession for the finer details. Sofea uses her background in translation to decode the technicalities of automotive innovation. She is dedicated to delivering impactful, meticulously researched articles that provide a narrative far beyond the spec sheet. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv

