- Berita
- EV
- Geely EX5 Hadir Dengan Jaminan Bateri Seumur Hidup Tetapi Ada Syaratnya
Nampaknya, Geely Auto Indonesia menjadi tumpuan memandangkan ia menawarkan waranti bateri seumur hidup untuk model Geely EX5 di awah pakej promosi yang dinamakan ‘EXceptional Value Deals.
Bagi yang tidak tahu, Geely EX5 adalah kembar kepada Proton e.MAS 7 yang dipasarkan secara tempatan dengan lencana Geely.
Jika dibandingkan dengan Proton e.MAS 7, ia ditawarkan oleh Proton New Energy Technology (PRO-NET) di Malaysia dan hadir dengan jaminan bateri EV selama 8 tahun atau 160,000 KM.
Tawaran itu adalah sesuatu yang lumrah dan ditawarkan oleh kebanyakan pengeluar EV di pasaran tempatan.
Sebaliknya, tawaran Geely Auto Indonesia untuk perlindungan bateri EV seumur hidup bagi EX5 datang hadir dengan beberapa syarat. Bagi menikmati waranti ini, had jarak perjalanan tahunan adalah sebanyak 30,000 KM, bersamaan dengan purata penggunaan bulanan sebanyak 2,500 KM.
Kedua, waranti bateri seumur hidup ini hanya sah untuk pemilik pertama EX5 dan ia tidak boleh dipindah milik sekiranya berlaku pertukaran pemilikan.
Difahamkan, jaminan bateri ini turut termasuk dengan klausa yang membolehkan bateri ditukar jika keadaan kesihatannya (State of Health, SoH) menurun di bawah 70%.
Syarikat tersebut juga menawarkan jaminan biasa selama 8 tahun atau 180,000 KM untuk bateri EV, motor elektrik, dan unit kawalan bagi EX5.
Selain jaminan luar biasa itu, promosi ‘EXceptional Value Deals’ untuk pembeli di Indonesia ini, ia turut merangkumi pengecas mudah alih percuma, wallbox 7 kW atau pakej aksesori OEM, kadar faedah 0% untuk tahun pertama, data percuma 2GB, dan banyak lagi.
Jelas bahawa promosi ini disasarkan khusus untuk pembeli EV di Indonesia namun jika dibandingkan dengan pembeli EV di Malaysia, kita mempunyai keutamaan dan corak penggunaan yang sangat berbeza.
Ini kerana EV di sana tidak dijangka digunakan secara intensif untuk perjalanan jarak jauh.
Sebagai makluman, Geely EX5 telah dilancarkan di Indonesia pada Januari tahun ini dengan dua varian – ‘Pro’ asas dan ‘Max’ premium.
Kedua-dua varian itu menggunakan pek bateri LFP 60.22 kWh yang menggerakkan motor elektrik di hadapan dengan kuasa 218 PS dan tork 320 Nm.
Selain itu, pengeluaran tempatan percubaan (CKD) bagi Geely EX5 di Indonesia juga telah bermula pada bulan Mei, dengan pengeluaran besar-besaran dijangka bermula pada suku keempat tahun ini.
Berdasarkan maklumat yang kami kongsikan ini, adakah anda berminat dengan Proton e.MAS 7 jika pihak PRO-NET menawarkan jaminan bateri EV seumur hidup yang serupa tetapi diletakkan dengan syarat, seperti mana yang dilakukan oleh Geely Auto Indonesia?
Kongsikan pandangan anda!
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/