- Berita
- Kereta Baru
- Butiran Proton e.MAS 7 PHEV Didedahkan, Ada 3 Varian, Jarak Gerak 1,065KM
Butiran Proton e.MAS 7 PHEV Didedahkan, Ada 3 Varian, Jarak Gerak 1,065KM

Spesifikasi terperinci bagi Proton e.MAS 7 PHEV yang akan datang telah pun didedahkan, beberapa minggu selepas penampilan sulungnya di Proton Tech Showcase.
Digelar sebagai EV dwi-kuasa pertama Malaysia, SUV segmen-C hibrid plug-in (PHEV) ini ditawarkan dalam tiga varian dan mampu mencapai jarak perjalanan gabungan sehingga 1,065 km.
Ketiga-tiga varian tersebut dinamakan Prime, Premium dan Premium+, di mana dua varian terawal berkongsi pek bateri LFP 18.4 kWh daripada CATL, dimana Proton mendakwa ia mampu memberikan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 105 km (NEDC).


Dari segi pengecasan, kedua-dua varian asas ini menyokong pengecasan AC 6.6 kW dan DC 30 kW, dengan pengecasan DC membolehkan tahap 30–80% dicapai dalam masa kurang daripada 20 minit.
Varian tertinggi e.MAS 7 PHEV Premium+ pula dilengkapi bateri LFP “Short Blade” Aegis 29.8 kWh keluaran Geely, yang mampu memberikan jarak pemanduan EV sahaja sehingga 170 km (NEDC).
Walaupun pengecasan AC masih terhad kepada 6.6 kW, varian Premium+ menerima pengecasan DC yang lebih pantas pada 60 kW, membolehkan pengecasan 30–80% diselesaikan dalam masa kurang 16 minit.
Kesemua model e.MAS 7 PHEV menggunakan rangkaian kuasa yang sama, iaitu enjin hibrid khusus EM-i 1.5 liter 4-silinder yang menawarkan kecekapan terma mendahului segmen pada 46.5%.
Enjin ini mampu menghasilkan kuasa setakat 98 hp (73 kW) dan 125 Nm, dengan penggunaan bahan api serendah 4.3 liter bagi setiap 100 km. Bagi bahagian elektrifikasi pula, motor elektrik e.MAS 7 PHEV disepadukan ke dalam transmisi hibrid khusus 11-dalam-1 (DHT), yang dinilai pada 215 hp (160 kW) dan 262 Nm.
Secara keseluruhan, sistem PHEV ini menghasilkan 259 hp (193 kW) dan 262 Nm, manakala tangki petrol 51 liter membolehkan jarak pemanduan sehingga 1,000 km (NEDC) bagi dua varian lebih rendah dan sehingga 1,065 km (NEDC) bagi varian Premium+.

Seperti kebiasaan PHEV moden, e.MAS 7 PHEV hadir dengan tiga mod pemanduan berbeza iaitu Pure, Hybrid dan Power.
Dalam mod Pure, kenderaan dipacu sepenuhnya oleh motor elektrik dan bateri, memberikan pengalaman pemanduan seperti EV. Mod Hybrid pula bertukar secara lancar antara kuasa elektrik, petrol atau gabungan kedua-duanya untuk kecekapan optimum. Mod Power pula berfungsi hampir sama seperti Hybrid, tetapi lebih kepada prestasi.
Walaupun unit yang dipamerkan masih diselubungi dengan pelekat penyamaran, beberapa perincian reka bentuk e.MAS 7 PHEV boleh dikongsikan.
Misalnya, SUV PHEV ini kelihatan hampir serupa dengan versi elektrik sepenuhnya, e.MAS 7 EV, namun menampilkan beberapa elemen reka bentuk tersendiri untuk membezakannya.


Melihat bahagian luaran varian Prime, ia hadir dengan lampu hadapan LED penuh dengan kawalan lampu tinggi pintar (IHBC), lampu siang LED tajam, lampu belakang LED 3D lebar penuh, rel bumbung terbina dalam, cermin sisi berkuasa, serta rim 18 inci.
Varian Premium lebih menyerlah dengan jalur lampu penuh lebar di bahagian hadapan, pintu but berkuasa, cermin sisi lipat automatik dan rim lebih besar bersaiz 19 inci. Varian Premium+ pula menerima ciri tambahan bumbung panoramik dengan tirai matahari.


Dari segi dimensi, e.MAS 7 PHEV sedikit lebih besar berbanding versi EV, dengan panjang 4,740 mm, lebar 1,940 mm dan tinggi 1,685 mm serta jarak roda 2,755 mm. Reka bentuknya yang besar turut menyediakan ruang but seluas 528 liter, yang boleh dibesarkan sehingga 2,065 liter apabila tempat duduk belakang direbahkan.
Sekali lagi, tiada imej dalaman dikongsikan buat masa ini, namun semua varian e.MAS 7 PHEV dikatakan menerima susunan dwi-skrin yang sama, iaitu kluster instrumen LCD 10.2 inci dan skrin infotainmen 15.4 inci yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, serta peta pengecasan langsung bersepadu Proton e.MAS.
Seperti dijangka, varian Prime menerima kelengkapan dalaman paling asas, termasuk sistem audio enam pembesar suara, tempat duduk larasan manual berbalut kulit tiruan, dan pendingin hawa manual.
Varian Premium dan Premium+ pula dilengkapi tempat duduk hadapan berkuasa dengan pengudaraan, paparan head-up (HUD), pencahayaan ambien 256 warna, sistem audio Flyme Sound 16 pembesar suara, penutup but boleh tarik, pendingin hawa automatik dengan penapis kabin N95, pengecas tanpa wayar dan banyak lagi.

Perbezaan ciri keselamatan antara Prime dan dua varian tertinggi turut ketara, di mana Prime dilengkapi enam beg udara, sensor parkir belakang, kamera undur sahaja, serta fungsi ADAS Tahap 2 asas seperti Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Brek Kecemasan Automatik (AEB), Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW), Bantuan Brek Kecemasan (EBA), Amaran Keluar Lorong (LDW), Pencegahan Keluar Lorong (LDP), Amaran Kenderaan Hadapan Bergerak (LVDA) dan Pengecaman Tanda Trafik (TSR)
.
Dua varian tertinggi pula menerima ciri keselamatan tambahan seperti lapan beg udara, sistem kamera 360 darjah, sensor parkir hadapan dan belakang, serta fungsi ADAS lanjutan seperti Bantuan Kekal Lorong Kecemasan (ELKA), Amaran Perlanggaran Belakang (RCW), Amaran Trafik Silang Belakang (RCTA), Brek Trafik Silang Belakang (RCTB), Amaran Pertukaran Lorong (LCW), Pengesanan Titik Buta (BSD) dan Amaran Buka Pintu (DOW).
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/

