- Berita
- EV
- Huawei & BAIC Perkenal Wagon Elektrik Stelato S9T – Muncul Tidak lama Lagi
Huawei & BAIC Perkenal Wagon Elektrik Stelato S9T – Muncul Tidak lama Lagi
Wagon Stelato S9T
Huawei melalui Harmony Intelligent Mobility Alliance (HIMA) baru-baru ini telah memperkenalkan model wagon elektrik pertamanya, Stelato S9T, yang bakal memasuki pasaran China tidak lama lagi. Model ini merupakan varian estate untuk sedan elektrik, Stelato S9, yang dibangunkan hasil kerjasama dengan syarikat automotif BAIC.
Model Wagon Yang Elegan & Praktikal
Dari segi reka bentuk, Stelato S9T kelihatan hampir sama dengan model sedan Stelato S9 pada bahagian hadapan, mengekalkan lampu ‘Galaxy’ yang menjadi ciri eksklusif HIMA. Ia juga menggunakan rim aloi reka bentuk berbilang jejari sama seperti versi sedan, dilengkapi pemegang pintu jenis terbenam dan kemasan krom pada bingkai tingkap serta skirt sisi.
Walau bagaimanapun, perbezaan yang ketara dapat dilihat selepas tiang B, di mana S9T tampil dengan imej wagon yang elegan melalui rekaan bumbung yang memanjang ke belakang, menggantikan gaya fastback sedan. Bumbung ini juga boleh dipasang dengan rak untuk tujuan membawa barangan tambahan.
Sedan Stelato S9
Stelato S9T diberikan lampu belakang ‘Nebula’ dalam rekaan baharu dan logo S9T pada pintu but yang membezakannya daripada model standard.
Ciri Keselamatan Stelato S9T Yang Canggih
Dari segi teknologi, wagon ini dilengkapi dengan ciri bantuan pemanduan ADAS yang sama seperti versi sedan, antaranya sensor LiDAR bumbung dan dua LiDAR tambahan pada fender depan. Walaupun belum diumumkan secara rasmi, sistem ini dijangka akan diintegrasikan dengan sistem pemanduan pintar Huawei Qiankun ADS yang canggih.
Ciri Mekanikal Stelato S9T
Setakat ini, tiada pengumuman rasmi mengenai spesifikasi mekanikal daripada kedua-dua pihak, Huawei atau BAIC, namun portal automotif, CarNewsChina menyatakan S9T akan menggunakan teknologi elektrik bateri (BEV) dan kenderaan elektrik jarak tambahan (EREV) yang digunakan pada Stelato S9.
Untuk makluman pembaca, varian BEV pacuan roda belakang untuk S9 menggunakan motor elektrik tunggal dengan kuasa 304 hp (227 kW) dan tork 396 Nm, dipacu oleh bateri lithium ion berkapasiti 100 kWj yang membolehkan jarak pemanduan sehingga 816 km mengikut standard CLTC.
Sementara varian BEV pacuan semua roda pula menggunakan dua motor dengan kuasa gabungan 516 hp (385 kW) dan tork 716 Nm, dengan jarak pemanduan sekitar 721 km.
Stelato S9T dijangka akan membuat kemunculan rasmi di China pada musim luruh tahun ini, namun harga jualan masih belum diumumkan.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv