- Berita
- Berita Auto
- JPJ Bantu Pemandu Lesen PSV, GDL Yang Pernah Digantung Lesen, Laksana Kursus Pemulihan
JPJ Bantu Pemandu Lesen PSV, GDL Yang Pernah Digantung Lesen, Laksana Kursus Pemulihan
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan projek rintis kursus pemulihan bagi pemegang Lesen Vokasional untuk Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Kenderaan Barangan (GDL) yang digantung, mulai November depan.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata pemandu terbabit wajib menjalani kursus pemulihan itu sebelum diberikan semula lesen berkenaan.
Langkah itu bertujuan untuk meningkatkan semula tahap kesedaran serta mengukuhkan kembali pengetahuan berkaitan undang-undang jalan raya, etika pemanduan dan aspek keselamatan yang mungkin sudah dilupakan selepas memperoleh lesen dulu.
Beliau berkata, modul serta latihan praktikal bakal dimasukkan ke dalam kursus pemulihan itu sedang diperincikan, dengan beberapa perkara diteliti bersama Kementerian Pengangkutan (MOT).
"Kursus pemulihan itu akan dijalankan terhadap pemandu kenderaan barangan dan bas yang terbabit kemalangan serius, sebelum lesen PSV atau GDL diberikan semula kepada mereka.
"Penggantungan lesen PSV atau GDL bukan dilakukan serta-merta, sebaliknya melalui proses yang perlu dipatuhi.
"Kita akan bermula dengan pemegang lesen PSV serta GDL yang digantung, sebelum dilanjutkan pula kepada mereka yang digantung lesen memandu," katanya.
Pada sesi libat urus itu, hampir semua pengusaha memberi maklum balas positif dan berharap lebih banyak sesi diadakan pada masa akan datang.
Mengulas lanjut, Aedy Fadly menegaskan pentingnya latihan lanjutan dan kursus pemulihan dilaksanakan untuk mengingatkan semula pemandu berkenaan mengenai peraturan yang mungkin sudah dilupakan.
"JPJ dalam perancangan untuk mewajibkan kursus lanjutan ini kepada pemandu kenderaan berat tetapi bukanlah dalam masa terdekat," katanya.
Gallery


Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/