- Berita
- Kereta Baru
- Lexus NX 350h Luxury 2025 Kini Rasmi Di Malaysia – Varian Hibrid Terbaru, Dari RM395,888
Lexus NX 350h Luxury 2025 Kini Rasmi Di Malaysia – Varian Hibrid Terbaru, Dari RM395,888
Lexus Malaysia membuat kemas kini barisan produknya ‘dalam diam’ dengan memperkenalkan varian baharu SUV NX, iaitu Lexus NX 350h Luxury. Varian ini kini menjadi satu-satunya model hibrid dalam barisan model NX generasi kedua di pasaran tempatan, ditawarkan pada harga bermula RM395,888.
Pengganti Varian NX 250 Luxury
Menurut laman web rasmi Lexus Malaysia, varian asas sebelumnya, NX 250 Luxury, tidak lagi disenaraikan. Ini menjadikan varian berprestasi, NX 350 F Sport, sebagai varian paling mampu milik yang ditawarkan dengan harga RM390,888.
Spesifikasi NX 350h Luxury
NX 350h Luxury menggunakan sistem hibrid series-parellel (HEV) yang menggabungkan enjin petrol 2.5 liter 4 silinder aspirasi natural (NA) Dynamic Force dari Toyota sebagai ‘jantungnya’. Enjin ini disokong oleh dua motor elektrik yang membentuk sistem pacuan semua roda (E-Four AWD) serta dipadankan dengan transmisi CVT lapan kelajuan, memberikan kuasa sistem keseluruhannya mencecah 234 hp dan tork 239 Nm.
Gabungan ini membolehkan NX 350h Luxury memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 7.7 saat, selain menawarkan tahap penggunaan bahan api mengagumkan sekitar lima liter bagi setiap 100km, dedah Lexus.
Dibina atas platform TNGA-K milik Toyota, model ini menggunakan sistem suspensi MacPherson di hadapan dan double wishbone di belakang. Walaupun tidak dilengkapi suspensi adaptif serta peredam prestasi, tiga mod pemanduan disediakan iaitu Normal, Eco dan Sport untuk mengoptimumkan pengalaman memandu.
Sentuhan Luaran Yang Elegan
Secara visual, Lexus NX 350h Luxury sukar dibezakan daripada NX 250 Luxury kerana kedua-duanya mengusung pakej ‘Luxury’ secara standard. Antara ciri unik model ini ialah lampu depan projektor LED yang tirus dengan lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk huruf L, aksen perak satin, rim aloi 20 inci warna Dark Gray Metallic dan banyak lagi.
Pilihan Warna Menarik
Terdapat tujuh pilihan warna badan ditawarkan termasuk White Nova Glass Flake, Sonic Titanium, Sonic Chrome, Graphite Black Glass Flake, Radiant Red Contrast Layering, Terrane Khaki serta Sonic Copper yang memberikan karakter eksklusif.
Kemewahan & Teknologi Kabin
Sebagai varian ‘Luxury’, NX 350h diberikan pelbagai ciri premium seperti kemasan kayu berpori terbuka, stereng kulit yang dilaraskan secara automatik, tempat duduk pemandu boleh laras lapan arah dan skrin infotainmen tengah bersaiz 14 inci yang menyokong kedua-dua Android Auto dan Apple CarPlay.
Selain itu, teknologi lain yang disediakan termasuk pengecas tanpa wayar, papar pandu (head-up display), pengecaman suara, sistem navigasi terbina dalam serta sistem audio premium Lexus dengan 10 pembesar suara. Pembeli diberikan pilihan dua tema kabin iaitu balutan kulit Black dengan kemasan Piano Black Micro Dot atau balutan kulit Dark Rose dengan kemasan yang sama.
Sistem Keselamatan Terkini
NX 350h Luxury juga menampilkan sistem keselamatan Lexus Safety System+ (LSS+) versi terkini yang meliputi teknologi bantuan pemanduan canggih (ADAS) seperti brek kecemasan automatik (AEB), kawalan jelajah radar dinamik (DRCC), pemantau titik buta (BSM), amaran lintasan trafik belakang (RCTA) dan banyak lagi.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv