- Berita
- Berita Auto
- Sita Lori Pesalah Berulang Yang Bawa Muatan Berlebihan Bukannya Pesalah Kali Pertama
Sita Lori Pesalah Berulang Yang Bawa Muatan Berlebihan Bukannya Pesalah Kali Pertama
Tindakan menyita lori yang membawa muatan berlebihan hanya wajar dikenakan terhadap pesalah berulang, bukan kesalahan kali pertama atau pengusaha kecil yang bergantung hidup kepada satu atau dua kenderaan sahaja.
Itu kata Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR) susulan kebimbangan pemain industri logistik terhadap pendekatan keras Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dikhuatiri memberi kesan besar terhadap ekonomi mikro dalam sektor pengangkutan.
Pengasas dan Penasihat PPKJR, Jamil Manan Supri berkata, tindakan menyita adalah sah dari sudut undang-undang mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membolehkan pegawai pengangkutan menyita kenderaan bagi mengenal pasti identiti atau menghentikan kesalahan yang sedang dilakukan.
Namun katanya, penyitaan wajar difokuskan kepada kes berulang atau pemandu yang cuai secara konsisten, dan bukan ke atas individu yang hanya menurut arahan serta tidak mempunyai pilihan selain memenuhi kehendak pengilang atau pemilik barang.
"PPKJR berpandangan supaya pengilang atau pembekal barangan juga perlu dipertanggungjawabkan dalam isu lebih muatan ini, bukan hanya meletakkan kesalahan seratus peratus kepada pemandu.
"Mereka hanya menjalankan tugas mengikut arahan, dan sistem sekarang seolah-olah mengabaikan peranan serta desakan pihak pembekal," katanya kepada Harian Metro.
Tambah beliau, tindakan menyita tanpa meneliti kesan kewangan dan tekanan operasi harian hanya akan menjerumuskan pengusaha ke kancah muflis.
"Bayangkan jika satu-satunya lori syarikat disita, mereka bukan sahaja tidak boleh menghantar barangan, tetapi juga tetap perlu membayar ansuran bulanan bank, penyelenggaraan dan gaji pekerja.
"Lebih parah, pendapatan mereka hilang serta-merta dan dalam masa sama perlu cari jalan bayar kompaun yang mungkin tinggi," katanya.
Jamil turut memberi amaran bahawa tekanan berterusan ke atas industri logistik boleh memberi kesan rantaian kepada kos barangan yang akhirnya membebankan pengguna.
Justeru, katanya, pihak berkuasa perlu segera membuka ruang libat urus dengan pengusaha pengangkutan untuk memahami masalah sebenar di lapangan, termasuk tekanan daripada pihak pengilang yang memaksa lori membawa lebih muatan.
"Sudah sampai masanya satu mekanisme baharu dibentuk supaya tiada lagi tekanan tidak wajar terhadap pemandu dan pengusaha yang hanya mahu mencari rezeki secara sah," katanya.
Terdahulu, akhbar tempatan kebimbangan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) yang menyifatkan tindakan menyita jentera berat kerana muatan berlebihan sebagai keterlaluan dan mampu melumpuhkan ekonomi mikro sektor pengangkutan.
Gallery



Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/