- Berita
- Berita Auto
- KKR Teliti Cadangan Tubuh Tabung Khas Selenggara Jalan Kawasan Kilang
KKR Teliti Cadangan Tubuh Tabung Khas Selenggara Jalan Kawasan Kilang
Kementerian Kerja Raya (KKR) akan mengkaji cadangan untuk menubuhkan tabung khas bagi melaksanakanpenyelenggaraan jalan raya di kawasan industri dan berintensiti ekonomi tinggi.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata, pihaknya bersedia meneliti saranan berkenaan sekiranya ia dapat membantu menyediakan infrastruktur jalan raya yang lebih selamat dan selesa kepada pengguna.
"Apatah lagi jika ia melibatkan kawasan aktiviti ekonomi yang penting," katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) sama ada KKR terbuka untuk mengkaji cadangan menyediakan tabung khas bagi penyelenggaraan jalan industri di kawasan strategik seperti Kapar, yang menjadi nadi perindustrian serta penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Nanta mengakui Jabatan Kerja Raya (JKR) sentiasa memberikan fokus kepada usaha mencari kaedah terbaik dalam penyelenggaraan jalan, termasuk melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap bahan binaan yang lebih kukuh dan mampu menampung beban muatan berlebihan.
"Kita juga membuat lebih banyak R&D tentang bahan-bahan untuk kita gunakan bagi membina permukaan jalan yang lebih tahan lasak dan sesuai untuk laluan industri.
"Kita tidak menafikan di sana (kawasan perindustrian), lori atau trak besar selalunya akan membawa muatan berlebihan (sehingga boleh menjejaskan struktur jalan raya)," katanya.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/