- Berita
- Berita Auto
- Tiada Lampu Jalan: Punca Kemalangan Di Jalan Persekutuan
Gara-gara ketiadaan lampu jalan di Jalan Persekutuan adalah punca utama berlakunya kemalangan!
Ini kerana Kementerian Kerja Raya (KKR) merekodkan 2,184 kes kemalangan di Jalan Persekutuan membabitkan lokasi yang tiada lampu antara 2023 hingga Julai tahun ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pihaknya melaksanakan skop pemasangan lampu jalan di kawasan kemalangan atau berisiko kemalangan akibat jalan gelap melalui Program Menaiktaraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya.
Sepanjang tahun ini, beliau berkata sebanyak 256 lokasi terpilih di Jalan Persekutuan akan dipasang lampu jalan baharu dengan kos berjumlah RM25 juta.
"Bagi kawasan kerap kemalangan atau berisiko kemalangan seperti di persimpangan, selekoh dan jambatan serta kawasan yang mempunyai rekod kemalangan yang dikenalpasti, pemasangan lampu jalan akan dibuat secara setempat, berskala kecil serta memenuhi keperluan pencahayaan.
"Keberkesanan pemasangan lampu jalan terutamanya di kawasan kemalangan atau berisiko kemalangan sentiasa dilaksanakan oleh KKR dan Jabatan Kerja Raya (JKR), selain mengenalpasti lokasi baharu yang memerlukan lampu jalan," ujarnya.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang ingin tahu berapa banyak kes kemalangan direkodkan di kawasan atau kalau tiada kemudahan lampu jalan termasuk tindakan kerajaan dalam membendung kemalangan di kawasan berisiko.
Gallery


Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/