- Berita
- Global
- Chery Tiggo 9 PHEV CSH Bakal Tiba Di Malaysia Tahun 2026 – Capai 1,400 KM, Kabin Mewah
Chery Tiggo 9 PHEV CSH Bakal Tiba Di Malaysia Tahun 2026 – Capai 1,400 KM, Kabin Mewah
Perkembangan terkini dari Chery International User Summit (CIUS) 2025 kali ini membawa khabar gembira buat peminat dunia automotif tanah air. Jenama Chery telah memperkenalkan SUV hibrid plug-in (PHEV) yang dijangka akan tiba di Malaysia, Chery Tiggo 9 PHEV CSH.
Chery Tiggo 9 PHEV CSH Tiba Tahun Depan?
Chery Tiggo 9 PHEV CSH dijadualkan untuk membuat kemunculan di Malaysia dalam tahun 2026. SUV ini akan menjadi model Chery Super Hybrid (CSH) keempat di pasaran tempatan selepas Tiggo Cross, Tiggo 7 PHEV dan Tiggo 8 PHEV. SUV yang juga dikenali sebagai Chery Fulwin T9 di pasaran China ini pernah dipamerkan di pameran motor Auto China 2024 yang diadakan di Beijing.
Lebih Besar, Diposisikan Antara Tiggo 8 & Jaecoo J8
Dari segi saiz, SUV dengan tiga baris tempat duduk ini mempunyai panjang keseluruhan 4,795 mm dengan jarak roda 2,770 mm. Ini meletakkannya di antara Tiggo 8 dan ‘saudaranya’ dari Omoda | Jaecoo iaitu Jaecoo J8.
Memandangkan ia merupakan model utama dalam barisan Tiggo, SUV ini memiliki kabin yang diberikan sentuhan paling mewah berbanding yang lain.
Tiggo 9 PHEV dengan konfigurasi tempat duduk 2-3-2 ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden dan canggih yang termasuk skrin infotainmen tengah bersaiz 15.6 inci, pad pengecas tanpa wayar, konsol tengah terapung dengan butang kawalan fizikal, lampu ambien dan sistem audio Sony dengan 14 pembesar suara.
Selain itu, turut disediakan ialah bumbung suria panoramik yang luas, tempat duduk barisan kedua dengan fungsi pemanas/pengudaraan dan pelbagai lagi ciri premium lain.
Ciri Mekanikal Chery Tiggo 9 PHEV CSH
Model ini dikuasakan oleh enjin petrol turbo empat silinder berkapasiti 1.5 liter yang sama seperti Tiggo 7 dan Tiggo 8 PHEV.
Walaupun menggunakan enjin yang sama, ia ditawarkan dalam dua spesifikasi berbeza. Varian tinggi menggunakan pek bateri 34.4 kWj dengan sistem pacuan semua roda (AWD) yang menghasilkan output 619 PS dan tork 920 Nm. Dengan cas penuh, boleh mencapai jarak perjalanan elektrik maksimum sehingga 160 km.
Sementara itu, varian lebih rendah pula menggunakan pek bateri berkapasiti lebih kecil iaitu 18.3 kWj dengan motor elektrik depan yang menghasilkan output 381 PS dan tork 610 Nm. Dengan cas penuh, jarak perjalanan EV varian ini mencecah 90 km.
Walaupun memiliki kapasiti bateri yang berbeza, kedua-dua varian menjanjikan kemampuan untuk bergerak sejauh 1,400 km dengan cas dan tangki penuh.
Berapa Anggaran Harganya di Malaysia Nanti?
Memandangkan Chery Tiggo 8 PHEV kini dijual pada harga RM159,800 manakala Jaecoo J8 bermula dari RM178,800, agaknya berapakah harga yang sesuai untuk SUV flagship Tiggo 9 PHEV CSH ini nanti?
Dengan kelengkapan yang lebih premium dan prestasi yang lebih mantap, dijangka model ini akan ditawarkan pada harga yang lebih tinggi daripada kedua-dua model tersebut.
Baca: Chery Super Hybrid Terbukti Sistem Hibrid Tercanggih, Ekspedisi 20,000 KM Berakhir
Baca: Omoda C5 Baharu Dipertontonkan Di China – Perubahan Drastik, Lebih Futuristik
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv