- Berita
- EV
- Ekosistem EV Malaysia Masih Belum Matang, Insentif Model Import Masih Diperlukan – MAA
Ekosistem EV Malaysia Masih Belum Matang, Insentif Model Import Masih Diperlukan – MAA
Semasa pembentangan Belanjawan 2026 baru-baru ini, tiada sebarang pengumuman dibuat membabitkan duti import dan eksais untuk kenderaan elektrik (EV) yang diimport sepenuhnya (CBU).
Sejak 2022, insentif ini memudahkan pemilik mendapatkan kenderaan EV tanpa beban cukai tinggi, namun mulai 1 Januari 2026, harga bagi model EV import dijangka meningkat akibat ketiadaan lanjutan pengecualian cukai tersebut.
Sebelum ini, tempoh pengecualian cukai bagi EV CBU telah dua kali dilanjutkan, dari penghujung 2023 ke 2024 dan sekali lagi ke hujung 2025, namun kali ini tiada pengumuman lanjut dibuat.
MAA Saran Lanjutan Insentif Untuk Menyokong Peralihan EV
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyeru agar kerajaan mengekalkan dasar seimbang yang terus menyokong kedua-dua segmen EV, sama ada model import sepenuhnya (CBU) atau pemasangan tempatan (CKD). Mereka menegaskan bahawa insentif berterusan bagi EV CBU amat penting pada peringkat awal peralihan kepada mobiliti elektrik di negara ini.
“Ekosistem EV di Malaysia masih di peringkat awal pembangunan. Insentif berterusan untuk model CBU amat penting bagi mewujudkan kesedaran pengguna, keyakinan pasaran dan kesediaan permintaan.
“Ketiga-tiga aspek ini merupakan prasyarat utama kepada kejayaan jangka panjang program pemasangan EV tempatan,” kata MAA.
MAA juga menegaskan bahawa kerajaan perlu sentiasa menyesuaikan dasar seiring dengan kemajuan teknologi dan perkembangan global yang pantas dalam industri automotif. Satu kerangka dasar yang adaptif dan progresif amat diperlukan untuk membantu mempercepat pertumbuhan industri serta penerapan teknologi EV yang memberi impak tinggi.
Harga EV Import Dijangka Naik, Kelebihan Untuk Jenama Nasional
Sementara itu, Kenanga Investment Bank pula melihat keputusan kerajaan menamatkan pengecualian cukai eksais bagi EV CBU sebagai satu peluang untuk menaikkan jenama automotif nasional. Ini kerana jenama tempatan mempunyai kadar lokaliti yang lebih tinggi serta mendapat faedah rebat tambahan daripada kerajaan untuk pembelian kereta nasional.
Menurut Kenanga, bermula 1 Januari 2026, kadar duti import untuk EV CBU akan meningkat antara 30% hingga 100%, yang merangkumi cukai import sebanyak 10% hingga 30% daripada harga kenderaan dan duti eksais antara 50% hingga 100%.
Baca: Xpeng Pertimbang Pengeluaran CKD Di Malaysia Tahun Depan
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv