- Berita
- Kereta Baru
- Harga Mazda CX-30, CX-5, CX-8 Semakin Murah – Potongan Harga Cecah RM20,000!
Harga Mazda CX-30, CX-5, CX-8 Semakin Murah – Potongan Harga Cecah RM20,000!
Bermaz Auto Berhad (BAuto) dalam diam telah merendahkan harga untuk beberapa model SUV Mazda lain selain CX-80 yang dipasang secara tempatan (CKD) iaitu CX-30, CX-5 dan CX-8.
Bermula 1 Oktober lalu, model asas, CX-30 2.0L Standard, kini ditawarkan pada harga RM3,000 lebih rendah iaitu RM128,409. Varian lain pula kini dijual pada harga yang RM5,000 lebih rendah, ini bermakna varian dengan spesifikasi paling tinggi, 2.0L High+ Premium kini hanya berharga RM154,409, atas jalan.
Model yang laris di pasaran, CX-5 dijual pada harga RM10,000 lebih rendah untuk kesemua varian. Harga varian asas, 2.0L Mid, kini hanya RM134,426 atas jalan, diikuti varian 2.0L High pada RM151,469, 2.5L High pada RM164,960, 2.2D High (turbodiesel) pada RM170,322 dan varian tertinggi 2.5T AWD High pada RM178,760.
Perubahan paling drastik adalah harga terbaru bagi model tiga baris tempat duduk, CX-8, yang kini ditawarkan di pasaran dengan potongan harga sebanyak RM20,000. Model asas 2.5L Mid kini dijual pada RM165,360, diikuti 2.5L High pada RM171,360 dan 2.5L High Plus pada RM186,360 atas jalan.
Namun CX-8 bukanlah model dengan penurunan harga yang paling tinggi, kerana sebelum ini kami pernah melaporkan bahawa model hibrid plug-in CX-80 juga kini dijual pada harga yang jauh lebih murah, dengan potongan sebanyak RM35,000 berbanding harga asal menjadikan harga terbarunya hanya RM295,000. Namun begitu, model CX-60 2.5G 2WD High kekal pada harga yang sama iaitu RM198,900 tanpa sebarang perubahan.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv