- Berita
- Kereta Baru
- Harga Subaru Forester 2026 Didedahkan – Lebih Mahal, Bukan Lagi CKD?
Harga Subaru Forester 2026 Didedahkan – Lebih Mahal, Bukan Lagi CKD?
Pengimport dan pengedar rasmi jenama Subaru di Malaysia, Motor Image Malaysia Sdn Bhd (Motor Image) telah mendedahkan harga rasmi bagi Subaru Forester 2026 melalui laman web rasmi mereka.
Berdasarkan senarai harga yang dipaparkan, SUV segmen C generasi keenam ini bakal dijual pada harga RM221,500, tidak termasuk insurans dan kos atas jalan. Angka ini jelas menunjukkan kenaikan yang ketara berbanding model Forester GT Edition EyeSight versi pemasangan tempatan (CKD) yang dijual pada RM188,800.
Daripada CKD Kepada CBU
Selain harga yang didedahkan, tiada butiran lain diumumkan kerana ikon Forester di laman utama hanya membawa kepada laman yang masih kosong.
Kenaikan harga ini sememangnya telah dijangka. Ini kerana pihak pengurusan jenama Subaru sebelum ini telah memutuskan untuk menghentikan operasi pemasangan tempatan (CKD) serantau dan beralih kepada model perniagaan baharu yang hanya melibatkan unit import sepenuhnya (CBU). Keputusan ini secara tidak langsung menyebabkan kos kenderaan meningkat, yang kini ‘terpancar’ daripada harga Forester 2026.
Tempahan Awal Dibuka
Motor Image telah mula ‘mengacah’ kehadiran Forester generasi keenam ini di pasaran tempatan pada hujung bulan lalu, serentak dengan pembukaan tempahan awal. Namun, pihak media tempatan masih belum berpeluang melihat kenderaan ini secara langsung, kerana syarikat memilih untuk mengadakan pratonton peribadi eksklusif untuk pelanggan di beberapa bilik pameran terpilih.
Motor Image sebelum ini telah mengesahkan beberapa spesifikasi utama yang akan dibawa oleh Forester baharu ke Malaysia iaitu penggunaan enjin sama, 2.5 liter 4 silinder petrol 'boxer' atau 'flat' dengan kuasa 182 hp dan tork 247 Nm.
Kuasa disalurkan kepada kesemua roda dengan pakej pacuan semua roda (AWD) simetri Subaru melalui transmisi automatik CVT Lineatronic. Sistem AWD yang digunakan hadir dengan mod pemanduan off-road ‘Dual X-Mode’ mengekalkan DNA Subaru sebagai SUV yang versatil untuk pelbagai keadaan jalan.
Pada pendapat anda, adakah peningkatan harga ini berbaloi dengan ciri-ciri dan kualiti CBU yang ditawarkan?
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv