- Berita
- Kereta Baru
- Subaru Forester 2026 Kini Rasmi Di Malaysia – 1 Varian, CBU Jepun, Dari RM221,500
Subaru Forester 2026 Kini Rasmi Di Malaysia – 1 Varian, CBU Jepun, Dari RM221,500

Subaru Forester 2026 kini telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Harganya? Lebih tinggi berbanding generasi terdahulu, kerana model kali ini diimport sepenuhnya (CBU) dari negara Jepun.
Ya, bukan lagi dipasang secara tempatan (CKD) sama ada di Malaysia mahupun Thailand seperti yang diputuskan oleh ibu pejabat Subaru yang ingin memberi tumpuan kepada model perniagaan CBU dari negara matahari terbit itu.
Model generasi keenam yang terbaru ini kini dijual pada harga RM221,500, peningkatan harga yang ketara berbanding model sebelum ini yang dijual pada harga RM188,800.
Tetapi… Ada Pakej Menarik


Walaupun kini menjadi salah satu SUV segmen C Jepun yang paling mahal dalam kelasnya, ada ‘sisi positif’ pada harga tersebut. Ini kerana pengimport dan pengedar rasmi jenama Subaru di Malaysia, Motor Image Malaysia turut menyertakan waranti selama 5 tahun atau 100,000 km serta pakej servis percuma selama 5 tahun atau 100,000 km, yang termasuk alat ganti dan buruh, bersama pembelian kenderaan.
Platform Yang Dipertingkat
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Forester generasi keenam menggunakan casis Subaru Global Platform yang telah dipertingkat untuk kekukuhan dan keseimbangan struktur lebih tinggi. Penambahbaikan ini bertujuan untuk meningkatkan pengendalian serta mengurangkan bunyi, getaran dan kekasaran (NVH) semasa pemanduan.
Ciri Mekanikal Subaru Forester 2026



Dari segi mekanikal, Forester baharu masih kekal dikuasakan oleh enjin petrol boxer atau flat 2.5 liter 4 silinder keluaran Subaru. Enjin ini menghasilkan kuasa maksimum mencecah 182 hp dan tork 247 Nm. Kuasa disalurkan kepada roda melalui sistem transmisi automatik CVT 'Lineartronic' Subaru.
Transmisi CVT kini telah dipertingkatkan dengan 8 nisbah (berbanding 7 nisbah sebelum ini). Ia digandingkan dengan sistem pacuan semua roda 'Symmetrical AWD' yang turut ditambah baik, menawarkan pelbagai mod pemanduan dan pilihan permukaan jalan termasuk 'Dual X-Mode' yang lebih baik.
Sentuhan Lebih Moden
Secara visual, Subaru Forester baharu kini menampilkan reka bentuk luaran yang lebih kemas dan ringkas, namun aura garangnya masih terserlah dengan kehadiran pelindung atau cladding berwarna hitam pada bampar dan lengkungan roda.






Selain itu, ia turut diberikan lampu LED penuh (depan dan belakang), rel bumbung, serta rim aloi 18 inci dua tona.
Kabin Yang Sarat Ciri Canggih & Praktikal
Kabin dilengkapi dengan skrin infotainmen kawalan sentuhan dalam kedudukan potret yang berukuran 11.6 inci. Panel instrumen kekal sama seperti sebelum ini tetapi kini dilengkapi dengan paparan maklumat digital (MID) yang terkini.



Ruang kabinnya juga terasa premium dengan penggunaan upholsteri kulit dan fabrik pada tempat duduk. Untuk keselesaan, tempat duduk pemandu boleh dilaraskan secara automatik.






Model ini cukup praktikal, dengan but standard berkapasiti 496 liter yang boleh diperluaskan kepada 1,719 liter apabila kerusi belakang dilipat. Pintu but ini boleh dibuka secara automatik dengan sistem sensor tendangan.
Kemudahan tambahan adalah termasuk pad pengecas tanpa wayar, port pengecasan USB-C dan USB-A, kemudahan memasuki dan menghidupkan enjin kenderaan tanpa menggunakan kunci, serta kawalan pendingin hawa automatik dua zon dengan saluran udara khas untuk tempat duduk belakang.
Sistem Keselamatan Komprehensif


Dalam aspek keselamatan, Forester generasi keenam kini menempatkan lapan beg udara dalam kabinnya, lengkap dengan sistem brek ABS dan kawalan kestabilan serta traksi.
Peningkatan ketara adalah pada sistem ADAS ‘EyeSight 4.0’ yang menggunakan tiga sensor optik dipasang di atas cermin hadapan, memberikan keupayaan pemanduan separa autonomi tahap 2 selain dilengkapi sistem pemberhentian kecemasan semasa memandu (EDSS).
Tempahan Subaru Forester 2026
Tempahan Subaru Forester 2026 kini ditawarkan dalam tiga pilihan warna cat luaran. Tempahan untuk model ini kini dibuka di semua pengedar sah Subaru di seluruh negara. Tempahan turut dibuka secara dalam talian melalui laman web rasmi Motor Image Malaysia.

Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv

