- Berita
- Kereta Baru
- Dilancar: Mazda BT-50, Versi CBU, Hanya Ada 1 Varian - RM138,000
Dilancar: Mazda BT-50, Versi CBU, Hanya Ada 1 Varian - RM138,000

Bermaz Motor (BAuto) secara rasmi melancarkan dua model baharu, Mazda BT-50 2025 dan Mazda 3 1.5 High Plus 2025 menjelang acara jelajahnya yang akan berlangsung pada minggu ini di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya.
Selain Mazda 3 1.5 High Plus 2025, Mazda BT-50 juga diperkenalkan dimana ia diasaskan daripada Isuzu D-Max.

Bagi versi tahun 2025, ia hadir dalam satu varian BT-50 3.0T 4WD High Plus yang diimport sepenuhnya (CBU). Model ini dijual pada harga RM138,000 namun tidak termasuk insurans dan kos di jalan raya. Seperti biasa, Bermaz Motor turut menawarkan waranti komprehensif 5 tahun atau 100,000 KM.
Dari segi mekanikal, trak pikap hasil kerjasama Mazda dan Isuzu ini dikuasakan oleh enjin turbo diesel 3.0-liter 4-silinder daripada Isuzu dimana ia menghasilkan kuasa setakat 188 hp serta 450 Nm tork.
Kuasa tersebut disalurkan melalui transmisi automatik 6-kelajuan, dipadankan dengan sistem pacuan empat roda (4WD) penuh yang kini dilengkapi mod Rough Terrain yang dipertingkatkan. Ia juga menawarkan fungsi Hill Descent Control (HDC) serta kunci pembeza 4WD (2H, 4H, 4L).

Dari segi rekaan luaran, Mazda BT-50 versi facelift 2025 tampil dengan reka bentuk gril hadapan baharu berwarna hitam yang menjadi identiti Mazda, lampu depan jenis LED penuh yang menyerupai rekaan Mazda CX-5.
Selain itu, bahagian bampar hadapan turut diberi rekaan semula dengan saluran g udara sisi dan bingkai lampu kabus berwarna hitam, manakala bahagian belakang menampilkan reka bentuk pintu but yang tersendiri serta dipadankan dengan rim aloi dua tona 18 inci yang menambah gaya sporty.


Menjengah bahagian kabinnya, ia kekal menyerlah dengan rekaan kabin unik yang berbeza daripada Isuzu D-Max kerana iamenonjolkan sentuhan premium khas Mazda. Ia hadir dengan konsol tengah dan susun atur butang kawalan meniru gaya crossover dan sedan Mazda yang popular.
Kabin turut dinaik taraf dengan bahan sentuhan lembut pada papan pemuka dan panel pintu, penebat bunyi, getaran dan kekasaran (NVH) yang lebih baik, serta reka bentuk kerusi kulit baharu yang memberikan keselesaan lebih tinggi.
Dari segi kelengkapan, BT-50 kini hadir dengan skrin infotainmen sesentuh 9 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, ada skrin instrumen digital 7 inci, kawalan suhu automatik dua zon dengan corong udara belakang, port pengecasan USB-C manakala tempat duduk pemandu boleh laras secara berkuasa.


Selain itu terdapat juga kamera undur, serta sistem kemasukan tanpa kunci dan butang mula enjin (keyless entry & ignition).


Dari aspek keselamatan dan bantuan pemanduan, Mazda BT-50 2025 turut dilengkapi sistem i-Activesense ADAS, yang terdiri daripada Kawalan Jelajah Adaptif, Amaran dan pencegahan pelanggaran hadapan (FCW & AEB), Amaran keluar lorong (LDWS), Amaran tumpuan pemandu (DAA), Pemantauan titik buta (BSM) dan Amaran lintasan trafik belakang (RCTA).

Mengenai ciri keselamatan, ia terdiri daripada beg udara, ABS dengan EBD dan BA, kawalan kestabilan dan cengkaman (ESC & TCS), dan banyak lagi.
Bagi yang berminat, ia hadir dengan lima pilihan warna iaitu Concrete Gray Mica, Vermillion Latosol Mica, True Black Mica, Geode White Pearl dan Sailing Blue Mica
Bahagian dalaman pula hanya hadir dengan tema kulit hitam.
Model ini kini boleh dilihat dan ditempah di semua pengedar sah Mazda di seluruh negara.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/