- Berita
- Global
- Kabin Mercedes-Benz GLB Generasi Terbaru Didedahkan – Lebih Mewah & Canggih
Kabin Mercedes-Benz GLB Generasi Terbaru Didedahkan – Lebih Mewah & Canggih

SUV crossover kompak Mercedes-Benz GLB generasi kedua dijadualkan untuk membuat kemunculan rasmi pada awal bulan hadapan, 8 Disember. Menjelang pelancaran tersebut, jenama automotif premium ini telah menyiarkan imej acah yang mendedahkan reka bentuk dalaman baharu secara terperinci, di samping mempamerkan bentuk keseluruhan SUV tersebut.
Kokpit Mewah Seperti CLA

Seperti yang dilihat pada model fastback CLA generasi ketiga, GLB generasi kedua ini akan menampilkan susun atur kokpit yang dikenali sebagai MBUX Superscreen, iaitu gabungan tiga skrin digital bersaiz besar di papan pemuka.
Tiga skrin ini terdiri daripada instrumen digital 10.25 inci dengan dua skrin infotainmen kawalan sentuhan berukuran 14 inci.
Bagaimanapun, susunan skrin yang futuristik ini ditawarkan sebagai pilihan tambahan, bukannya standard. Varian lebih rendah pula dijangka tidak lagi mempunyai skrin penumpang bersaiz besar.
Skrin ini akan dikuasakan oleh sistem operasi Mercedes-Benz (MBOS) terkini, yang membawakan pelbagai ciri canggih seperti pembantu maya MBUX dengan avatar, navigasi Google Maps dan pelbagai fungsi kecerdasan buatan (AI) lain, menjadikannya GLB yang paling 'pintar' setakat ini.
Kabin Lebih Luas, Ruang Kaki Lebih Lapang


Imej acah yang dikongsikan bukan sahaja mempamerkan teknologi, malah turut mendedahkan fokus pada peningkatan ruang dan keselesaan, yang mana model baharu ini dijangka menawarkan kabin yang lebih luas dengan ruang kepala yang ketara lebih besar berbanding model terdahulu.
Penumpang barisan kedua dapat menikmati ruang kaki yang lebih luas, dan tempat duduk yang direka semula dengan sokongan peha tambahan serta sandaran belakang yang boleh dilaraskan.
Untuk versi tujuh tempat duduk, barisan yang ketiga turut ditambahbaik dan kini boleh dilipat rata sepenuhnya ke lantai, sekali gus meningkatkan kapasiti ruang but.
Bumbung Panorama Pintar: Kaca Jernih Berubah Kepada Legap

GLB baharu ini turut dilengkapi dengan pelbagai ciri mewah dan canggih lain seperti bumbung kaca panoramik yang boleh dinaik taraf kepada versi yang boleh bertukar dari jernih kepada legap dalam masa milisaat.

Pelanggan juga mempunyai pilihan untuk menukar kepada ciri bumbung bercahaya dengan motif 'langit berbintang'.
Mercedes-Benz turut melengkapkan GLB generasi kedua dengan cermin berlapisan kalis haba dan salutan pemantul inframerah. Ini bertujuan mengekalkan suhu dalaman kabin yang sejuk pada musim panas dan mengurangkan kehilangan haba pada musim sejuk.
Komputer ADAS Berkuasa Tinggi
Bantuan pemanduan lanjutan (ADAS) di GLB baharu ini dibantu oleh 'otak' pengkomputeran yang sangat berkuasa, seperti sebuah PC gaming premium. Sistem ADAS model ini dibantu oleh 8 kamera, 5 sensor radar, dan 12 sensor ultrabunyi.
Semua data ini dihubungkan kepada komputer berprestasi tinggi yang disejukkan oleh air (water-cooled), memastikan keupayaan pemprosesan yang pantas dan stabil.
'Otak' pengkomputeran ini juga direka untuk kalis masa depan, dengan simpanan kuasa yang mencukupi untuk fungsi yang bakal datang melalui kemas kini perisian over-the-air (OTA) secara berkala.
Enjin Hibrid Ringkas & Varian EV Dwi-Motor

Dari segi trenkuasa, GLB baharu ini dijangka akan mengikut jejak CLA terkini yang ditawarkan dalam kedua-dua versi iaitu enjin pembakaran dalaman (ICE) dan elektrik (EV). Versi ICE menggunakan sistem hibrid ringkas yang dibina berasaskan enjin petrol turbo 4 silinder 1.5 liter, manakala versi EV akan ditawarkan dalam varian satu dan dua motor elektrik.
Butiran penuh model GLB generasi kedua ini dijangka akan didedahkan secara lebih terperinci semasa penampilan rasmi pada 8 Disember depan.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv

