- Berita
- Berita Auto
- SPYSHOT: Proton e.MAS 7 PHEV Sedang Diuji, Bakal Dilancar Tahun Depan?
SPYSHOT: Proton e.MAS 7 PHEV Sedang Diuji, Bakal Dilancar Tahun Depan?

Seorang pembaca Carz.com.my telah berkongsi beberapa gambar model Proton e.MAS versi PHEV yang dikatakan akan tiba di pasaran tempatan, tidak lama lagi.
Gambar itu dirakam ketika Proton e.MAS 7 yang diselubungi dengan pelekat penyamaran berwarna hitam, putih, menelusuri laluan Lebuhraya Elite berhampiran Putrajaya, semalam.

Biarpun, unit itu ditutupi dengan pelekat namun reka bentuk Proton e.MAS 7 sememangnya mudah dicam.
Lagipun, difahamkan Proton sudah pun mendaftarkan tanda dagangan ‘e.MAS 7 PHEV’ pada September 2024, yang sudah memberikan petunjuk bahawa Proton e.MAS 7 PHEV akan dijual di Malaysia.
Begitupun, Proton masih mengunci mulut mengenai tarikh sebenar bila varian varian PHEV (petrol-elektrik) ini akan dilancarkan untuk pasaran tempatan.
Melihat kepada prestasi jualan versi elektriknya, kami menjangkakan versi PHEV ini akan dilancarkan pada tahun hadapan.
Berbalik kepada Proton e.MAS 7 elektrik, ia dibina berasaskan Geely EX5 (Galaxy E5), manakala varian PHEV ini pula dibangunkan berdasarkan model yang dipasarkan di China sebagai Galaxy Starship 7 PHEV sejak November 2024.
Untuk makluman, Galaxy Starship 7 PHEV dibina menggunakan platform Global Intelligent New Energy Architecture (GEA), sama seperti E5 dan e.MAS 7. Ia turut dikuasakan oleh rangkaian kuasa PHEV terkini Geely, iaitu NordThor EM-i.

Starship 7 ini disumbat dengan enjin petrol 1.5 liter 4-silinder NA yang mana ia mampu menghasilkan kuasa setakat 110 HP dan 136 Nm serta digandingkan dengan transmisi hibrid khas 11-ke-1 (e-DHT) yang merangkumi motor ISG (integrated starter-generator) dan motor pemanduan elektrik khusus.
Untuk itu, Starship 7 dikatakan mampu memecut dari 0-100 km/j hanya dalam masa 7.5 saat dan kelajuan maksimum elektronik terhad kepada 180 km/j.
Dari segi jarak perjalanan dan penggunaan bahan api, model asal berlogo Geely tersebut menawarkan jarak elektrik penuh CLTC sehingga 101 km bagi bateri kecil dan sehingga 150 km untuk bateri lebih besar. Jarak gabungan petrol-elektrik pula dikatakan mampu mencecah sehingga 1,420 km, d
Selain itu, Starship 7 menyokong pengecasan pantas DC pada 36 kW, membolehkan pengecasan 30-80% disiapkan dalam kira-kira 20 minit. Pada masa sama, baterinya juga boleh digunakan untuk menghidupkan peralatan elektrik kecil menerusi fungsi Vehicle-to-Load (V2L).
Apa pula pendapat anda? Mampukah versi PHEV e.MAS 7 mencapai populariti yang sama? Tinggalkan pandangan anda dalam ruangan komen…
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/