- Berita
 - Berita Auto
 - Tahniah Lebuhraya Malaysia Dapat Pujian Antarabangsa, Rakyat Perlu Terus Lapor Kerosakan Jalan
 
Tahniah Lebuhraya Malaysia Dapat Pujian Antarabangsa, Rakyat Perlu Terus Lapor Kerosakan Jalan

Kementerian Kerja Raya mendedahkan kualiti lebuh raya di negara ini menerima pujian antarabangsa selepas video konvoi kenderaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang melalui lebuh raya tular di media sosial baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pujian meluas daripada warganet itu mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai antara negara memiliki rangkaian jalan raya paling baik diselenggara di Asia Tenggara.
"Video itu mengingatkan dunia dan kita sendiri bahawa Malaysia sudah membina sesuatu yang luar biasa. Kelancaran, kebersihan dan landskap lebuh raya negara jelas terpamer dan dikagumi ramai," katanya.

Nanta Linggi berkata, video yang dimuat naik di platform X oleh Pembantu Khas dan Penasihat Komunikasi kepada Trump, Margo Martin, menunjukkan konvoi presiden itu bergerak lancar di lebuh raya tiga lorong ketika dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke ibu negara.
Video berdurasi 13 saat meraih jutaan tontonan di media sosial, dengan ribuan pengguna memuji kualiti jalan raya Malaysia, malah ada yang membandingkannya secara positif dengan infrastruktur di negara maju.
Untuk makluman, Malaysia kini mengurus lebih 260,000 kilometer jalan Persekutuan, negeri dan perbandaran, menjadikannya antara rangkaian jalan paling luas dan bersepadu di rantau ini.
Sehubungan itu, pembabitan rakyat semakin penting dalam usaha menambah baik keadaan jalan raya, dengan merujuk kepada kejayaan platform aduan MyJalan yang membolehkan puluhan ribu kerosakan dikenal pasti dan diselesaikan di seluruh negara.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/