- Berita
- Kereta Baru
- Proton X70 2026 Kini Rasmi: Kabin & Enjin Lebih Senyap, Jimat Minyak, Dari RM99.8K!
Proton X70 2026 Kini Rasmi: Kabin & Enjin Lebih Senyap, Jimat Minyak, Dari RM99.8K!

Proton secara rasmi melancarkan Proton X70 2026. Tampil dengan pelbagai penambahbaikan mekanikal dan teknologi, model ini memperkukuh kedudukannya sebagai SUV premium mampu milik paling berbaloi di pasaran. SUV ini ditawarkan dalam dua varian utama iaitu 1.5TD Executive dan varian spesifikasi tertinggi, 1.5TD Premium, masing-masing pada harga RM99,800 dan RM112,800 (harga atas jalan, tanpa insurans, termasuk rebat sempena pelancaran sebanyak RM7,000).
Apakah Rahsia Di Sebalik Enjin Baharu Proton X70 2026?


Proton X70 2026 kini dikuasakan oleh enjin 1.5 liter 4 silinder turbo i-GT yang dipadankan dengan transmisi 7 kelajuan DCT. Unit trenkuasa ini adalah sama seperti yang digunakan pada model X50 Facelift. Berikut adalah aspek menarik mengenai enjin kali ini:
- Prestasi Mantap: Menghasilkan kuasa 181 PS (133 kW) dan tork 290 Nm, membolehkannya membuat pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 10.5 saat berbanding 11.2 pada versi terdahulu.
- Lebih Jimat Minyak: Kadar penggunaan bahan api hanya 6.9 L/100 km, iaitu 5.5% lebih jimat berbanding model 2025.
- NVH (Senyap & Selesa): Enjin ini 4.5% lebih senyap berbanding purata industri. Penggunaan Tooth Timing Chain menjadikannya 25.24% lebih senyap berbanding rantaian pemasa standard.
Bagaimana Dengan Kualiti Pemanduan & Pengendalian Sistem Suspensi?
Proton telah melakukan talaan semula pada sistem suspensi dan stereng untuk memberikan kepuasan memandu yang lebih premium:
- Kabin Lebih Senyap: Penambahbaikan suspensi mengurangkan bunyi jalan pada frekuensi rendah hingga sederhana.
- Ketahanan & Kestabilan: Kekuatan impak gandar belakang serta kapasiti sokongan olengan (roll support) telah dipertingkatkan.
- Stereng Lebih Responsif: Nisbah stereng ditambah baik untuk memberikan maklum balas yang lebih pantas dan tepat.
Sejauh Mana Kecanggihan Teknologi Digital Dan Infotainmen Dalam Kabin?




Melangkah masuk ke ruang dalaman, kita akan disambut dengan suasana premium yang sarat dengan teknologi moden:
- Skrin Besar: Sistem infotainmen bersaiz 12.3 inci yang menyokong ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.
- Pintar & Mudah: Dilengkapi sistem arahan suara “Hi Proton” yang memudahkan kawalan sistem serta aplikasi mudah alih Proton Link 2.0 untuk kawalan kenderaan di hujung jari.
Apakah Ciri Keselamatan Yang Ditawarkan?
Keselamatan kekal menjadi keutamaan Proton dengan pakej ADAS Tahap 2 yang komprehensif, merangkumi:
- Bantuan Pemandu: AEB, FCW, ACC dengan Stop & Go, ICC, LDW, LDP, dan banyak lagi.
- Keselamatan Parkir: Kamera HD 360 darjah dengan pandangan 'lutsinar' 180 darjah untuk memudahkan lagi pergerakan di laluan yang mencabar.
- Ciri Lain: Sistem pemantau tekanan tayar (TPMS), pengunci automatik jarak jauh (Walk Away Auto Lock) serta 6 beg udara SRS.
Apakah Perbezaan Antara Varian Executive & Premium?




.jpg)

Varian berspesifikasi lebih tinggi hadir dengan pelbagai ciri tambahan luar dan dalam. Di bahagian luar, X70 Premium dipasangkan dengan rim aloi 19 inci (berbanding 18 inci pada Executive).
Di ruang kabin, varian ini tampil lebih mewah dengan balutan kulit Nappa pada stereng, sistem pencahayaan ambien 72 warna, sistem larasan pemandu 8 arah bersama lumbar 2 arah, larasan 4 arah dengan suis Boss untuk co-pilot, serta lapisan keselamatan untuk cermin (security tint).
Perubahan terbesar wujud dalam aspek keselamatan, kerana jika dibandingkan dengan varian Executive yang hadir dengan ciri berikut:
- Walk Away Auto Lock
- Kamera HD 360 darjah dengan pandangan 'lutsinar' 180 darjah
- 2 sensor parkir hadapan
- 4 sensor parkir belakang
- 6 beg udara SRS
Varian Premium ditambah dengan 4 sensor paarkir belakang dan sistem ADAS lengkap seperti yang berikut:
- Brek Kecemasan Automatik (AEB)
- Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
- Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) dengan Fungsi Henti-Mula
- Kawalan Jelajah Pintar (ICC)
- Amaran Keluar Lorong (LDW)
- Pencegahan Keluar Lorong (LDP)
- Kawalan Pengekalan Tengah Lorong (LCC)
- Maklumat Papan Tanda Trafik (TSI)
- Kawalan Lampu Tinggi Pintar (IHBC)
- Bantuan Tukar Lorong (LCA)
- Amaran Trafik Lintasan Belakang (RCTA)
- Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
- Amaran Pembukaan Pintu (DOW)
- Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS)
Adakah Proton X70 2026 Berbaloi Dari Segi Kos Pemilikan?
Proton X70 2026 ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu Snow White, Armour Silver, Jet Grey dan Marine Blue. Kesemua warna ditawarkan untuk semua varian.
Proton mengatakan bahawa X70 2026 adalah sebuah SUV yang “premium tapi mampu milik". Selain harga jualan yang kompetitif, Proton turut mengesahkan bahawa model ini mempunyai kos penyelenggaraan 5 tahun terendah berbanding pesaing rapat dalam kelasnya, menjadikannya pelaburan bijak untuk jangka masa panjang.

1.5TD Executive ditawarkan pada harga RM99,800, manakala varian spesifikasi tertinggi, 1.5TD Premium, RM112,800 termasuk rebat sempena pelancaran sebanyak RM7,000 (hanya untuk Semenanjung Malaysia). Selepas promosi pelancaran ini, harga jualan 1.5TD Executive ialah RM119,800 dan 1.5TD Premium ialah RM106,800.
1,500 pembeli terawal layak menerima aksesori percuma bernilai RM700 yang termasuk lapik but, pelindung cahaya matahari untuk tingkap dan visor pintu.
Juga Menarik: Jualan Proton Melonjak Mei Lalu Sebab Proton X70, Proton X50 Laku Keras
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv













