- Berita
- Kereta Baru
- Kia Carnival Facelift Bakal Tiba Di Malaysia – Ada Versi Hibrid?
Kia Carnival Facelift Bakal Tiba Di Malaysia – Ada Versi Hibrid?
![]()
Hanya sebulan lebih selepas syarikat jualan nasional (NSC) baharu ditubuhkan, Kia Sales Malaysia (KSM) nampaknya sudah bersedia untuk ‘menggegarkan’ pasaran tempatan. Menerusi satu perkongsian teaser terbaru di media sosial, Kia memberikan bayangan bahawa Kia Carnival Facelift bakal dilancarkan tidak lama lagi. Teaser tersebut didedahkan dengan kapsyen berbunyi, “Created for the moments that matter the most. Because spaces that move with you, will inspire you. Stay tuned.”
Apakah Perubahan Rekaan Yang Diberikan Pada Kia Carnival Facelift?
Model kemas kini generasi keempat ini tampil dengan wajah jauh lebih garang dan futuristik, diinspirasikan daripada bahasa reka bentuk "Opposites United" seperti model flagship EV9:
- Lampu LED L: Lampu hadapan jenis menegak berbentuk L dengan lampu nyalaan siang (DRL) Star Map yang ikonik.
- Gril Lebih Gah: Rekaan gril hadapan yang lebih besar memberikan imej lebih premium.
- Bahagian Belakang: Lampu belakang LED yang berbentuk L direka halus. Selain itu, plat pendaftaran diletakkan pada kedudukan yang lebih rendah untuk nampak lebih kemas.
- Rim Baharu: Pilihan rim aloi rekaan terkini bersaiz 18 hingga 19 inci.
Apakah Sistem Trenkuasa Yang Ditawarkan?
Kejutan paling besar bagi model facelift ini adalah penambahan varian yang menggunakan sistem trenkuasa hibrid (HEV) selain versi sedia ada, diesel.
- Enjin 1.6L Turbo: Menggunakan enjin petrol 1.6 liter 4 silinder turbo bersama motor elektrik tunggal.
- Prestasi: Menghasilkan kuasa gabungan 242 hp dan tork 367 Nm.
- Transmisi: Kuasa disalurkan ke roda hadapan (FWD) melalui sistem transmisi automatik 6 kelajuan.
Versi diesel masih ditawarkan dengan enjin 2.2D SmartStream turbodiesel yang menghamburkan kuasa sebanyak 191 hp dan tork yang lebih tinggi, 441 Nm.
Apakah Pilihan Konfigurasi Tempat Duduk Yang Ditawarkan?
Sama seperti model sebelum ini, Kia Carnival terkenal dengan fleksibiliti ruang kabinnya. Bergantung kepada pasaran, ia dijangka hadir dalam versi kabin yang berikut:
- 7 Tempat Duduk (2-2-3): Versi mewah dengan kerusi kapten.
- 8 Tempat Duduk (2-3-3): Versi praktikal untuk keluarga besar.
- 11 Tempat Duduk (2-3-3-3): Untuk kapasiti penumpang maksimum.
Berapakah Anggaran Harga Kia Carnival Facelift 2026?
Walaupun harga rasmi belum diumumkan, kita boleh membuat anggaran berdasarkan harga jualannya di pasaran jiran. Menariknya, unit di Thailand dilaporkan diimport sepenuhnya (CBU) dari Malaysia. Di Thailand, model facelift ini hanya ditawarkan dalam versi hibrid sahaja dengan harga bermula dari THB 2.499 juta (sekitar RM322,780).
Sementara itu, di Indonesia, Kia Carnival Facelift ditawarkan dalam versi diesel dari IDR 998 juta (sekitar RM241k) dan hibrid dari IDR 1.388 bilion (sekitar RM335k).
Di Malaysia, versi pra-facelift yang dipasang secara tempatan (CKD) dijual pada harga RM193,000 hingga RM218,000. Dengan kecanggihan dan rekaan yang lebih menarik, versi facelift dijangka akan dijual pada harga lebih tinggi daripada model sedia ada.

Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv







