- Berita
- Global
- Kerajaan China 'Hilang Sabar' Dengan Trend Minimalis, Stereng 'Yoke', Kawalan Skrin Sentuh Bakal Diharamkan?
Kerajaan China 'Hilang Sabar' Dengan Trend Minimalis, Stereng 'Yoke', Kawalan Skrin Sentuh Bakal Diharamkan?
.jpg)
Kerajaan China nampaknya sudah ‘hilang sabar’ dengan trend reka bentuk kereta moden yang keterlaluan. Dalam satu langkah drastik untuk memperkasakan keselamatan jalan raya, negara tembok besar itu bakal mengharamkan penggunaan stereng jenis 'yoke' (separuh) dan mewajibkan semula penggunaan butang fizikal untuk kawalan sistem penting kenderaan.
Inisiatif yang diterajui oleh Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat (MIIT) China ini dilihat sebagai satu ‘tamparan hebat’ buat pengeluar seperti Tesla dan Xiaomi yang selama ini 'memuja' konsep rekaan kabin minimalis dan penggunaan skrin sentuh semata-mata.
Mengapa Stereng 'Yoke' Bakal Diharamkan Di China?
Mulai 1 Januari 2027, piawaian baharu bakal dikuatkuasakan. Berdasarkan draf tersebut, reka bentuk stereng separuh atau 'yoke' didapati gagal memenuhi kriteria keselamatan impak yang ketat. Antara punca utamanya:
- Risiko Kecederaan Parah: Statistik menunjukkan 46% kecederaan pemandu berpunca daripada mekanisme stereng. Stereng bulat tradisional memberi kawasan perlindungan (buffer) yang luas, manakala stereng separuh menyebabkan badan pemandu terdedah kepada impak sekunder.
- Isu Beg Udara: Reka bentuk 'yoke' yang tidak sekata menyukarkan pengesahan corak pecah (fracture pattern) semasa beg udara meletup, sekali gus membahayakan nyawa pemandu.
- Kesukaran Memandu: Pemandu melaporkan kesukaran melakukan pusingan U atau parkir dengan satu tangan, selain risiko terlanggar skrin papan pemuka secara tidak sengaja.
Skrin Sentuh Juga Jadi Sasaran Pengharaman?
China juga kini menyasarkan sistem kenderaan yang terlalu bergantung kepada skrin digital. Dalam draf peraturan baharu, kerajaan mewajibkan fungsi keselamatan asas mesti dikawal melalui suis atau butang fizikal yang tetap.
Fungsi kritikal yang wajib mempunyai butang fizikal (saiz minimum 10mm x 10mm) termasuklah:
- Lampu Isyarat: Tiada lagi butang sentuh pada stereng.
- Lampu Kecemasan: Mesti mudah dicapai tanpa perlu skrol menu.
- Pemilihan Gear & Panggilan Kecemasan: Wajib menggunakan suis mekanikal bagi mengelakkan kegagalan sistem digital semasa kecemasan.
Bagaimana Dengan Teknologi Pemanduan Autonomi?
Bukan sekadar butang dan stereng, China turut memperincikan piawaian bagi sistem pemanduan bantuan tahap tinggi (L3 dan L4). Kerajaan menegaskan bahawa sistem autonomi mestilah:
- Setaraf Pemandu Manusia: Tahap keselamatan sistem mestilah sekurang-kurangnya sama hebat dengan pemandu manusia yang cekap dan fokus.
- Risiko Minimum: Jika sistem gagal atau pemandu tidak mengambil alih stereng, kenderaan mesti berupaya bergerak kepada keadaan stabil dan berhenti secara automatik.
- Bukti Dokumentasi: Pengeluar wajib menyediakan bukti dokumen berstruktur bahawa sistem mereka mampu mengendalikan senario kritikal berisiko tinggi.
Era Reka Bentuk Kabin Minimal Bakal Berakhir?
Langkah China ini kemungkinan besar akan mencetuskan ‘kesan domino’ kepada pasaran automotif global. Memandangkan China adalah pasaran kereta terbesar dunia, pengeluar global sama ada dengan rela atau tidak rela terpaksa mengubah semula reka bentuk kabin masing-masing untuk mematuhi piawaian ini.
Ini juga dilihat sebagai langkah keselamatan susulan selepas China menjadi negara pertama mengharamkan pemegang pintu tersembunyi awal bulan ini.
Kembali Kepada Sistem ‘Tradisional’ Demi Nyawa
Keputusan China ini membuktikan bahawa secanggih mana pun teknologi, ergonomik dan keselamatan fizikal tidak boleh diketepikan. Pengguna kini mungkin boleh menarik nafas lega kerana butang fizikal yang lebih mesra pengguna akan kembali menjadi standard industri, sekali gus mengurangkan gangguan fokus semasa memandu.
Sumber: CarNewsChina | The Edge Singapore
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv

.jpg)
