- Berita
- Berita Auto
- KL Sesak Teruk, Ini Sebabnya

Kesesakan teruk di Kuala Lumpur sejak minggu lepas akhirnya terjawab disebabkan lebih tiga juta kenderaan sehari memasuki ibu kota dikenal pasti sebagai punca utama kesesakan lalu lintas yang luar biasa.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata berdasarkan pemantauan dan data Maklumat Trafik Bersepadu (ITIS), kemasukan kenderaan ke Kuala Lumpur antara 1 Februari hingga semalam menunjukkan peningkatan ketara melebihi tiga juta kenderaan setiap hari.
"Lonjakan kemasukan kenderaan ini menjadi faktor utama kepada kesesakan luar biasa yang kita lihat berlaku hampir di semua laluan utama bandar sejak awal bulan ini.
"Keadaan itu dipengaruhi pergerakan orang ramai menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, selain tumpuan ke pusat bandar untuk aktiviti membeli-belah," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina Tahun 2026 peringkat Kontinjen Kuala Lumpur di pusat beli-belah Pavilion, di sini, hari ini.
Kesesakan turut dipengaruhi beberapa faktor lain termasuk kemalangan kecil yang berlaku secara berantai ketika waktu puncak, cuaca yang menyebabkan pergerakan kenderaan menjadi perlahan serta faktor struktur jalan raya di beberapa lokasi.
Selain itu, katanya, berlangsungnya Majlis Raja-Raja dari 10 hingga 12 Februari turut memberi kesan kepada aliran trafik di sekitar ibu kota, khususnya laluan yang membabitkan pergerakan rasmi dan kawalan keselamatan.
"Gabungan semua faktor ini menyebabkan tempoh kesesakan menjadi lebih panjang berbanding kebiasaan, bukan hanya ketika waktu puncak pagi dan petang," katanya.
Tambah Fadil, jumlah kenderaan yang keluar masuk ibu kita dijangka meningkat dua kali ganda menjelang sambutan Tahun Baharu Cina dan awal Ramadan dengan enam juta kenderaan.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/

