- Berita
- Berita Auto
- Tragedi Jalan Tun Razak: Lelaki Maut, 7 Sekeluarga Termasuk Bayi Trauma Dihempap Pokok Tumbang Berusia 19 Tahun
Tragedi Jalan Tun Razak: Lelaki Maut, 7 Sekeluarga Termasuk Bayi Trauma Dihempap Pokok Tumbang Berusia 19 Tahun

Seorang lelaki maut manakala tujuh sekeluarga menerima rawatan di hospital selepas dua kenderaan yang dinaiki mereka dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Tun Razak berhampiran Kedutaan Singapura di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 10.20 malam.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati pokok berkenaan menghempap dua kenderaan iaitu sebuah Honda Accord dan Perodua Bezza yang dinaiki lapan mangsa.
“Kereta Honda Accord yang dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun mengalami kerosakan teruk selepas dihempap pokok.


“Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 4 pagi tadi akibat kecederaan yang dialami,” katanya.
Sementara itu, DBKL dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan teknikal secara menyeluruh susulan kejadian pokok tumbang yang mengorbankan seorang lelaki .
“Siasatan tersebut meliputi keadaan fizikal pokok, struktur akar, keadaan tanah, faktor persekitaran serta aspek lain yang berkaitan. Semakan turut dibuat terhadap rekod pemeriksaan, penyelenggaraan dan sebarang aduan terdahulu berkaitan pokok serta lokasi kejadian,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan rekod awal, pokok berkenaan daripada spesies peltophorum pterocarpum (yellow flame) dianggarkan berusia 19 tahun dan kali terakhir diperiksa serta disenggara pada 15 Mei 2025.
“Sebagai langkah segera, DBKL telah memulakan pemeriksaan terhadap pokok matang dan pokok yang berpotensi mendatangkan risiko di semua jalan utama Kuala Lumpur khususnya di kawasan yang dikenal pasti mempunyai jumlah trafik dan pergerakan orang awam yang tinggi,” katanya.
SUMBER BERITA HARIAN/KOSMO
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/
