- Berita
- Berita Auto
- Suspek Ceroboh Landasan LRT3 Ditahan, Perkhidmatan Tergendala 30 Minit
Suspek Ceroboh Landasan LRT3 Ditahan, Perkhidmatan Tergendala 30 Minit

TL;DR: Perkhidmatan LRT3 tergendala kira-kira 30 minit di Stesen Jalan Meru pagi tadi selepas seorang suspek menceroboh landasan. Suspek telah ditahan dan diserahkan kepada pihak polis, manakala Rapid KL memohon maaf atas kesulitan serta mengingatkan orang ramai supaya tidak menceroboh kawasan larangan.
Seorang suspek ditahan ga-gara menceroboh landasan Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Shah Alam di Stesen Jalan Meru, Klang, pagi tadi hingga menyebabkan perkhidmatan tren tergendala kira-kira 30 minit.
Rapid KL dalam kenyataan berkata, sejurus insiden dikesan, petugas operasi bersama anggota polis bantuan telah bertindak pantas mengesan serta menahan suspek sebelum diserahkan kepada polis dan dibawa ke Balai Polis Bandar Baru Klang untuk tindakan lanjut.
“Bagi memastikan keselamatan penumpang dan operasi perkhidmatan sentiasa terpelihara, perkhidmatan tren dihentikan sementara di antara Stesen Jalan Meru ke Stesen Jambatan Kota selama 30 minit bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan serta memastikan keadaan landasan selamat sebelum perkhidmatan beroperasi semula,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, Rapid KL turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami penumpang susulan gangguan sementara tersebut sambil menegaskan, keselamatan penumpang dan kelancaran operasi sentiasa menjadi keutamaan.
“Rapid KL turut menasihatkan orang ramai agar tidak menceroboh kawasan landasan kerana tindakan tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang malah boleh mengundang risiko keselamatan yang serius.
“Selain itu, penumpang disaran supaya sentiasa peka terhadap persekitaran dan segera memaklumkan kepada petugas stesen atau anggota Polis Bantuan sekiranya mengesan sebarang perlakuan yang mencurigakan,” katanya.
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/
