- Berita
- Berita Auto
- Masalah Brek Punca SUV Terbabas Di Cameron Highlands
![]()
Detik cemas menyelubungi sebuah keluarga apabila SUV yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke dalam gaung sedalam 15 meter di sebuah ladang teh.
Meskipun kenderaan tersebut mengalami kerosakan teruk (total loss), kesemua lima mangsa dilaporkan terselamat dalam insiden yang berlaku kira-kira jam 3.40 petang itu.
Apa Sebenarnya Yang Berlaku?
Menurut Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintendan Azri Ramli, kenderaan yang membawa tiga lelaki dan dua wanita itu sedang dalam perjalanan turun dari Ladang Teh Boh Sungai Palas menuju ke Brinchang.
Setibanya di lokasi kejadian, pemandu lelaki berusia 41 tahun itu dipercayai tidak dapat mengawal pergerakan kerana sistem brek kenderaannya gagal berfungsi secara tiba-tiba, menyebabkan SUV tersebut terbabas dan terjun ke dalam kawasan curam.
Sejauh Mana Tahap Kecederaan Mangsa?
Berpantang maut sebelum ajal. Walaupun jatuh ke kedalaman yang menyamai ketinggian bangunan empat tingkat, nasib menyebelahi keluarga berkenaan kerana tiga mangsa hanya mengalami kecederaan ringan, manakala dua lagi terselamat sepenuhnya daripada sebarang kecederaan fizikal.
Keadaan SUV tersebut dilaporkan mengalami kerosakan pada keseluruhan bahagian badan akibat impak terjatuh ke dalam gaung ladang teh berkenaan.
Apakah Tindakan Susulan Pihak Berkuasa?
Pihak polis telah mengesahkan bahawa siasatan awal menjurus kepada kegagalan mekanikal (masalah brek). Walau bagaimanapun, kes kini disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) atas faktor kegagalan mengawal kenderaan sehingga mengakibatkan kemalangan.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv



