- Berita
- Berita Auto
- Mitsubishi Xforce Dipasang Di Pekan, 800 Unit Dijangka Dihantar Pada April Ini
Mitsubishi Xforce Dipasang Di Pekan, 800 Unit Dijangka Dihantar Pada April Ini

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi di Malaysia ,mencatatkan satu lagi pencapaian penting dengan pelancaran rasmi barisan pengeluaran besar-besaran Mitsubishi Xforce di kilang pemasangannya yang terletak di Pekan, Pahang.
Susulan itu, tempahan untuk Mitsubishi Xforce serba baharu akan dibuka pada 5 Februari ini.
Pengenalan Mitsubishi Xforce serba baharu ini menegaskan komitmen berterusan Mitsubishi Motors Malaysia terhadap pengembangan produk serta pembuatan tempatan yang maju.
Bagi menyokong pencapaian ini, MMM telah menaik taraf operasi pembuatan di Pekan, termasuk penubuhan Sub-Assembly Body Shop baharu serta pemasangan peralatan canggih di barisan pengecatan, pemasangan (outfitting) dan pengujian bagi menyokong pengeluaran Mitsubishi Xforce serba baharu.
Pengeluaran Mitsubishi Xforce serba baharu di Pekan dilaksanakan selaras dengan piawaian pengeluaran global Mitsubishi Motors yang telah dibangunkan melalui pengalaman puluhan tahun kepakaran pembuatan Jepun.

Daripada pemasangan badan kenderaan, proses pengecatan hingga pemeriksaan akhir, setiap peringkat dikawal oleh mutu kerja yang berdisiplin serta kawalan kualiti yang ketat bagi memastikan kualiti binaan yang konsisten, ketahanan dan kebolehpercayaan jangka panjang.
Mengulas mengenai pencapaian tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia, Takashi Sakamaki berkata, pengeluaran besar-besaran Mitsubishi Xforce serba baharu melambangkan penerapan falsafah pembuatan Jepun Mitsubishi Motors di kilang Pekan kami.
"Berteraskan ketepatan, disiplin proses dan penambahbaikan berterusan, piawaian ini memastikan setiap Xforce yang dihasilkan di sini memenuhi penanda aras kualiti yang sama seperti kenderaan Mitsubishi yang dikeluarkan di mana-mana sahaja di dunia.


"Keutamaan kami adalah untuk menyediakan kenderaan yang mencerminkan piawaian global tertinggi Mitsubishi Motors, sekali gus memberikan keyakinan, kebolehpercayaan dan kebanggaan pemilikan kepada pelanggan sejak hari pertama," katanya.
Sehubungan itu, Mitsubishi Motors Malaysia menyasarkan untuk menghantar 800 unit pertama Mitsubishi Xforce serba baharu dalam bulan April, selepas melalui proses pengesahan kualiti yang menyeluruh serta pemeriksaan kesiapsiagaan pengeluaran.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/