- Berita
- Berita Auto
- Aidilfitri 2026: Jangan Risau Nak Balik Kampung Sebab KTMB Tambah 26 Tren Lagi
Aidilfitri 2026: Jangan Risau Nak Balik Kampung Sebab KTMB Tambah 26 Tren Lagi

Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menambah sebanyak 26 perjalanan tren tambahan bagi tempoh 17 Mac hingga 29 Mac 2026 untuk memenuhi permintaan tinggi orang ramai yang pulang ke kampung halaman.
Daripada jumlah tersebut, 18 perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan 8 perkhidmatan EMUPlus akan beroperasi sebagai langkah proaktif susulan tiket perkhidmatan sedia ada yang hampir habis terjual bagi tempoh berkenaan.
Sepanjang tempoh operasi, tren ETS tambahan dan EMUPlus akan menyediakan 8,118 tempat duduk sehari, termasuk pilihan Kelas Perniagaan, menjadikan jumlah keseluruhan 105,534 tempat duduk bagi menampung lonjakan penumpang menyambut Hari Raya Aidilfitri. I
ni menjadikan jumlah keseluruhan tempat duduk yang ditawarkan sepanjang tempoh sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah sebanyak 285,714 yang merangkumi 70 perjalanan sehari dengan purata harian 21,978 tempat duduk.
Perkhidmatan tambahan ini melibatkan perjalanan pergi dan balik seperti berikut:
Perkhidmatan ETS:-
• 8perjalanan laluan JB Sentral – KL Sentral – JB Sentral
• 6perjalanan laluan Ipoh – KL Sentral – Ipoh
• 2perjalanan laluan Butterworth – KL Sentral – Butterworth
• 2perjalanan laluan Padang Besar – KL Sentral – Padang Besar
Perkhidmatan EMUPlus:-
• 8 perjalanan laluan Ipoh – KL Sentral - Ipoh Sebanyak 10 perjalanan tren ETS tambahan akan mula dijual pada 1 Mac 2026 (Ahad) jam 12.00 tengah hari, manakala baki 16 perjalanan akan diumumkan dalam masa terdekat.
Perkhidmatan Ekspres Lambaian Aidilfitri (ELA) edisi Pantai Timur & Utara
Perkhidmatan Ekspres Lambaian Aidilfitri (ELA) edisi Pantai Timur akan beroperasi pada 18 Mac bagi laluan KL Sentral – Tumpat dan 22 Mac bagi laluan Tumpat – KL Sentral. Sebanyak 792 tiket ditawarkan termasuk koc tempat tidur bagi perkhidmatan ini.
Perkhidmatan ini menawarkan koc tempat tidur superior dengan 120 katil bagi setiap perjalanan, selain koc tempat duduk Kelas Premier dan Kelas Superior, bagi memberikan pilihan perjalanan yang lebih selesa dan fleksibel kepada penumpang.
Tambang sehala ditawarkan bermula serendah RM80.00 bagi Kelas Superior dan tambang bagi tempat tidur Kelas Superior RM90.00 (Katil Atas) dan RM95.00 (Katil Bawah) serta Kelas Premier, RM95.00.
Bagi perkhidmatan ELA edisi Utara, tren khas ini melibatkan laluan KL Sentral – Padang Besar – KL Sentral.
Tren ini akan beroperasi dengan empat (4) perkhidmatan, pada 17 Mac dan 22 Mac bagi laluan KL Sentral – Padang Besar serta 18 Mac dan 23 Mac bagi laluan Padang Besar – KL Sentral. Sebanyak 1,200 tiket ditawarkan bagi koc tempat duduk Kelas Superior dengan kadar tambang RM70.00 sehala.
Tiket boleh diperoleh secara tanpa tunai melalui aplikasi KITS Style, laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my, atau di mesin kios KTMB di stesen terpilih.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200 atau melayari platform media sosial rasmi KTMB untuk mendapatkan maklumat terkini.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/
