- Berita
- Berita Auto
- Awas Kaki Vape! Polis Bakal Guna Kit Air Liur Di SJR, Buru Pemandu Khayal ‘Piu Piu’
Awas Kaki Vape! Polis Bakal Guna Kit Air Liur Di SJR, Buru Pemandu Khayal ‘Piu Piu’

Bayangkan anda sedang memandu dengan tenang, tiba-tiba dirempuh oleh pemandu lain yang ‘khayal secara perlahan-lahan’ akibat penangan vape.
Menyedari ancaman senyap yang semakin menakutkan ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) kini bersiap sedia untuk menggunakan kit ujian air liur di lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) bermula hujung tahun ini bagi mengesan pemandu yang berada di bawah pengaruh dadah sintetik.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata paling membimbangkan apabila pengguna jalan raya yang memandu kenderaan sambil menghisap dadah sintetik dimasukkan dalam vape tanpa disedari mereka khayal secara perlahan-lahan.
Beliau berkata, Piu Piu atau Magic Mushroom bukan nama jenis dadah, tetapi satu terma untuk pasaran dan promosi dadah jenis cecair sintetik yang dimasukkan dalam peranti vape.
"Di negara kita berlaku kemalangan dipercayai berpunca daripada mereka yang menghisap dadah cecair sintetik dalam vape ini.
"Dadah sintetik menggunakan nama komersial Piu Piu dan Magic Mushroom ini mudah diperoleh sama ada dibeli secara dalam talian, di pusat hiburan atau dalam kalangan mereka yang menggunakan dadah berkenaan.
"Kesan pengambilan dadah ini boleh menyebabkan penggunanya khayal hingga hilang pertimbangan kewarasan diri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Hussein mendedahkan, selain pengguna jalan raya, dadah berkenaan juga turut dikesan digunakan pelajar sekolah menengah.
Untuk rekod, setakat 10 Jun lalu, 168 kes dikesan dengan 267 tangkapan dilakukan atas kesalahan penggunaan cecair dadah sintetik oleh JSJN, iaitu meningkat ketara berbanding 108 kes dengan 138 tangkapan di seluruh negara atas kesalahan sama pada sepanjang tahun lalu.
"JSJN juga memohon pertimbangan kerajaan meluluskan peruntukan pembelian kit ujian air liur itu untuk digunakan dalam SJR menjelang hujung tahun ini.
"PDRM turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam mengatasi masalah ini," katanya.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/
