- Berita
- Berita Auto
- 'Test Speed' Solo Di Jalan Awam, Bakal Jadi Kesalahan Jenayah: Denda Hingga RM10,000, Penjara 2 Tahun
'Test Speed' Solo Di Jalan Awam, Bakal Jadi Kesalahan Jenayah: Denda Hingga RM10,000, Penjara 2 Tahun

Tabiat pemandu atau penunggang yang gemar menguji kelajuan kenderaan di jalan awam secara bersendirian kini tidak lagi terlepas daripada tindakan undang-undang.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, individu yang menggunakan jalan raya untuk menguji kemampuan kelajuan motosikal atau kereta boleh dikenakan tindakan, meskipun tidak berlumba dengan kenderaan lain.
"Jalan awam, termasuk laluan yang lurus, tidak boleh dijadikan tempat menguji kelajuan kenderaan kerana aktiviti sedemikian sepatutnya dilakukan di litar lumba," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 di Dewan Negara, hari ini.
Berhubung perbezaan perbuatan menduga kelajuan dan memandu melebihi had laju, beliau berkata perkara itu akan diperincikan selepas pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] itu diwartakan kelak.
RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026, yang antara lain bertujuan membendung kegiatan lumba haram dan menduga kelajuan melibatkan semua jenis kenderaan itu kemudian diluluskan Dewan Negara dengan lebih suara bersetuju.
RUU itu, antara lain memasukkan seksyen baharu 42A (2), iaitu mana-mana orang yang mengambil bahagian dalam menduga kelajuan di jalan melibatkan satu atau lebih kenderaan motor telah melakukan kesalahan, yang boleh didenda tidak kurang RM2,000 dan tidak lebih RM10,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Gallery
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/