Raja Kereta Bajet Bawah RM50,000 Tahun 2026: Saga, Bezza Atau Axia?
Buat masa ini, di pasaran Malaysia, terdapat tiga model yang dijual pada harga paling mampu milik jika dibandingkan dengan yang lain iaitu Proton Saga, Perodua Bezza dan Perodua Axia.
Menjelang tahun 2026, persaingan menjadi lebih sengit dengan kehadiran Proton Saga MC3 (2026) yang menawarkan peningkatan ketara berbanding versi terdahulu. Jadi sejauh mana Proton Saga boleh mengalahkan pesaingnya, Bezza dan Axia? Mana satu yang benar-benar berbaloi untuk dimiliki buat jangka masa panjang? Teruskan membaca untuk kupasannya…
Penjelasan mengapa Myvi tidak dimasukkan dalam artikel ini: Perodua Myvi adalah pilihan yang juga popular di Malaysia, namun harga beberapa variannya telah melepasi had RM50,000. Perbandingan yang dibuat dalam artikel ini eksklusif untuk model-model 'bajet' yang boleh didapati sepenuhnya di bawah paras harga RM50,000 (harga atas jalan, OTR) yang dikuasai oleh model Saga, Bezza dan Axia.
Berapakah Kos Pemilikan Sebenar Saga, Bezza dan Axia?

Kos pemilikan sebenar bukan sekadar harga jualan yang dipaparkan, tetapi juga merangkumi bayaran bulanan, insuran, cukai jalan dan penyelenggaraan. Ini segalanya yang patut anda tahu sebelum membuat keputusan untuk membeli.
Perbandingan Kos Ansuran Bulanan
Berikut dikongsikan perbezaan harga bagi kesemua model kereta murah ini. Angka ansuran dikira berdasarkan deposit 10% dan kadar faedah purata 3.0% setahun.

*Kadar faedah dan sebut harga sebenar adalah tertakluk kepada institusi kewangan, skor kredit peminjam dan harga jualan terkini dari pengedar rasmi. Pembaca disarankan untuk mendapatkan sebut harga rasmi dan terkini sebelum membuat sebarang keputusan pembelian.
Nota: Angka ansuran dikira berdasarkan deposit 10% dan kadar faedah purata 3.0% setahun. Kadar faedah dan sebut harga sebenar adalah tertakluk kepada kelulusan institusi kewangan, skor kredit peminjam dan harga jualan terkini dari pengedar rasmi. Pembaca disarankan untuk mendapatkan sebut harga rasmi dan terkini sebelum membuat sebarang keputusan pembelian.
Menarik untuk tahu: Kelulusan Rang Undang-Undang Akta (Pindaan) Sewa Beli (HPAA) telah mengubah pengiraan faedah daripada Kadar Rata kepada Kadar Faedah Efektif. Ini menjadikan kos faedah bulanan lebih adil (dikira berdasarkan baki hutang sebenar). Manfaat utama kepada anda ialah penjimatan faedah yang lebih besar jika anda memilih untuk menyelesaikan pinjaman kereta lebih awal. Kami akan mengusahakan untuk mengemaskini artikel ini sebaik ia dilaksanakan.
Selari dengan perkembangan tersebut, pelanggan yang telah menandatangani perjanjian sewa beli sedia ada sebelum kelulusan HPAA ini, dapat ‘menikmati keadilan’ dengan diskaun tanggung rugi atau diskaun ihsan sekiranya menyelesaikan pinjaman dengan awal (akan dikuatkuasakan sekitar suku pertama 2026).
Kos Insurans
Kos insurans tahunan bagi ketiga-tiga model ini bergantung pada harga jualan OTR (nilai kereta) dan NCD (No-Claim Discount) pemandu.
Salah satu faktor utama yang membezakan kos pemilikan tahunan ketiga-tiga model ini ialah kapasiti enjin (CC) atau saiz enjin kereta. Lebih besar kapasiti enjin akan menyebabkan harga cukai jalannya semakin tinggi.
Ini disebabkan oleh pelaksanaan sistem cukai yang masih mengamalkan prinsip lama di mana kenderaan berkapasiti besar diandaikan meningkatkan pencemaran udara, maka dikenakan cukai yang lebih tinggi.

Nota: Kadar yang dikenakan untuk cukai jalan dipengaruhi oleh jenis kenderaan (Salun vs. Bukan Salun, semua model yang dibandingkan adalah versi Salun) dan lokasi pendaftaran. Kadar cukai jalan adalah lebih murah di Sabah dan Sarawak, manakala kenderaan berdaftar di Labuan/Langkawi/Pangkor (zon bebas cukai) menikmati diskaun 50% (atau kadar tetap RM20 bagi enjin bawah 1.0L).
Kos Penyelenggaraan
Selain harga jualan, kos penyelenggaraan adalah metrik terpenting yang menentukan kos pemilikan sebenar sesebuah kereta. Di sini kami kongsikan anggaran kos yang terlibat untuk jarak sehingga 100,000 km atau lima tahun pertama penggunaan. Maklumat servis ini diambil daripada laman web rasmi pengeluar.

Bezza 1.3L mempunyai kos penyelenggaraan paling tinggi dalam barisan model bajet Perodua, dengan perbezaan ketara untuk servis major (40,000 km dan 80,000 km) yang mungkin melibatkan penukaran bendalir atau komponen yang lebih mahal.
Buat masa ini, data kos penyelenggaraan terperinci bagi Proton Saga 1.5L MC3 (2026) belum tersedia secara umum di laman web rasmi. Namun, berikut adalah antara maklumat penting yang telah didedahkan:
- Jadual Servis: Kekerapan penyelenggaraan adalah setiap 10,000 km atau setiap 6 bulan.
- Ketahanan Enjin: Enjin 1.5-liter i-GT baharu menggunakan rantai pemasaan (Timing Chain) yang tahan lasak dan dilihat sebagai komponen sepanjang hayat enjin kereta. Ini berbeza dengan penggunaan tali sawat pemasaan (Timing Belt) memerlukan penukaran pada setiap 100,000 km pada kos yang tinggi.
Kami akan mengemas kini perbandingan kos Saga setelah jadual servis terperinci dikeluarkan oleh Proton melalui laman web rasminya.
Model Mana Yang Paling Jimat Minyak Dalam Jangka Masa Panjang?

Penjimatan minyak adalah perkara yang ramai turut pertimbangkan dalam pencarian kereta bajet. Berikut adalah senarai terperinci tahap penjimatan bahan api setiap model:

Analisis Kos Petrol Harian
Menggunakan harga petrol BUDI95 pada RM1.99/liter, kos operasi bagi setiap 100 km adalah seperti berikut:

Angka 3.65 L (SE & AV), 3.95 L (G & X) dan 4.44 L(E Manual) untuk setiap 100km Axia 2023 menjadikannya juara dalam persaingan ini. Tetapi kuasanya, 67 hp, adalah antara yang terendah berbanding yang ditawarkan model lain.
Walaupun kos untuk ‘menggerakkan’ Saga 2026 sedikit tinggi berbanding yang lain, ia jelas menjanjikan prestasi enjin yang lebih mantap. Enjin 1.5L i-GT baharu Saga MC3 menjadikannya kereta paling berkuasa di bawah RM50k, jauh mengatasi Bezza dan Axia, menjamin keselesaan pemanduan, terutamanya semasa memotong atau mendaki bukit. Saga juga memiliki kelebihan dari segi kapasiti tangkinya yang lebih tinggi, pada 40L berbanding Perodua, 33-36L. Lebih praktikal untuk perjalanan lebih jauh dengan satu tangki penuh.
Sementara itu, Bezza menawarkan keseimbangan antara kuasa (versi 1.3L) dan penjimatan minyak yang sangat baik.
Mana Satu Lebih Praktikal: Sedan (Saga/Bezza) atau Hatchback (Axia)?

Keputusan ini bergantung kepada tujuan penggunaan dan gaya hidup. Jadual berikut menunjukkan ringkasan mengenai saiz kabin dan ruang simpanan untuk ketiga-tiga model:

Walaupun Proton Saga adalah kereta paling besar berbanding yang lain (220 mm lebih panjang dan 70 mm lebih lebar daripada Bezza), Bezza terpilih sebagai Raja But dengan ruang 508L yang jauh lebih besar berbanding Saga (420L). Kedua-dua model Perodua juga menyediakan fungsi lipatan tempat duduk belakang 60:40.
Mana Satu Yang Paling Canggih Dalam Aspek Keselamatan: Saga, Bezza Atau Axia?


Memilih kereta bajet tidak bermakna anda perlu mengorbankan keselamatan. Analisis keselamatan ini dipecahkan kepada tiga peringkat mengikut ciri paling penting yang ditawarkan, memudahkan anda membuat pemilihan berdasarkan bajet dengan kepekaan terhadap tahap perlindungan yang disediakan.
Kategori A: Pilihan Paling Asas: Tiada Kawalan Kestabilan Elektronik (VSC/ESC)
Varian-varian ini menawarkan tahap keselamatan yang paling rendah, sepadan dengan harga jualannya sebagai antara yang termurah. Bagi keselamatan semua di dalam kereta, pengguna harus bersedia untuk memandu bersesuaian dengan ciri keselamatan yang sangat terhad.
Varian di bawah kategori ini:
- Perodua Bezza 1.0 G (AT/MT) (2020)
- Perodua Axia 1.0 E Manual (2023)
Penerangan Ciri Keselamatan:
- Perlindungan Impak Minimum: Kedua-dua model hanya dilengkapi 2 beg udara di bahagian hadapan.
- Kelemahan Kritikal: Varian ini tidak mempunyai VSC/ESC (Kawalan Kestabilan Elektronik) dan Kawalan Daya Cengkaman (TC). Ini adalah ciri keselamatan aktif terpenting yang wajib ada pada kereta moden.
- ‘Keunikan’ Axia E: Axia E Manual memiliki risiko yang lebih tinggi. Ia diuji menggunakan protokol lama, dan oleh itu, tidak diwajibkan untuk dilengkapi dengan ABS dan ESC. Risalah jualannya juga tidak menyatakan ciri brek canggih ABS/EBD untuk model ini.
Nasihat Pemanduan Kereta Kategori A:
Jika membeli varian ini atas sebab bajet, anda perlu faham bahawa kereta ini memerlukan tahap ‘hati-hati’ yang paling tinggi:
- Jaga Jarak dan Kelajuan: Sentiasa jaga jarak selamat yang lebih jauh dan kurangkan kelajuan, terutamanya semasa hujan lebat.
- Elakkan Gerakan Mengejut: Elakkan sebarang gerakan stereng yang mengejut atau membrek secara tiba-tiba, kerana kereta tiada bantuan kestabilan untuk mengelakkan skid atau spin.
Kategori B: Pilihan Pertengahan: Hadir Dengan Ciri Terpenting, Kawalan & Kestabilan (VSC/ESC)
Ini adalah peringkat permulaan yang disyorkan untuk mana-mana pembeli yang mementingkan keselamatan. Semua varian di sini menawarkan kestabilan pemanduan yang baik.
Varian di bawah kategori ini:
- Proton Saga 1.5 Standard / Executive (2026)
- Perodua Axia 1.0 G / X / SE (2023)
- Perodua Bezza 1.3 X / AV (2020)
Penerangan Ciri Keselamatan:
- VSC/ESC & TC: Ciri paling penting adalah Kawalan Kestabilan Elektronik (VSC/ESC) dan Kawalan Daya Cengkaman (TC), yang kini adalah standard pada semua model auto ini. Ini adalah ‘pelindung’ elektronik untuk mencegah gelinciran.
- Ciri Tambahan: Semua dilengkapi 2 beg udara, ABS/EBD/BA. Saga, Axia (X/SE) dan Bezza (Executive ke atas) diberikan ciri tambahan sensor dan/atau kamera undur.
Kategori C: Peringkat Tertinggi – Teknologi Pencegahan & Perlindungan Maksimum
Pilihan ini adalah untuk mereka yang mencari keselamatan yang paling komprehensif. Kedua-dua varian ini menawarkan perlindungan pasif yang maksimum dan teknologi pencegahan kemalangan yang canggih (ADAS).
Varian di bawah kategori ini:
- Proton Saga 1.5 Premium (2026)
- Perodua Axia 1.0 AV (2023)
Penerangan Ciri Keselamatan:
- 6 Beg Udara: Kedua-dua varian ini mendahului varian lain dengan 6 beg udara. Perlindungan ini penting untuk impak sisi dan sekiranya kereta terbalik..
- Pakej ADAS: Dilengkapi dengan ADAS penuh seperti brek kecemasan autonomi (AEB) atau brek pra-pelanggaran (PCB). Ciri canggih ini penting untuk mengelakkan risiko terutamanya semasa menempuhi perjalanan jarak jauh ketika pemandu mula penat, dan dikelilingi kereta laju di lebuhraya.
- Kelebihan Saga Premium: Saga Premium menawarkan pakej ADAS paling komprehensif, dengan ciri seperti pemantau titik buta (BSM), amaran trafik lintasan belakang (RCTA). Yang menariknya, Saga juga ialah kereta Malaysia pertama yang lulus ujian pengesanan kehadiran motosikal AEB ASEAN NCAP.
Apakah Kelengkapan & Teknologi Yang Disediakan Pada Model Axia, Bezza dan Saga?
Pengalaman pemanduan sangat bergantung kepada kelengkapan dan teknologi yang disematkan dalam kabin kereta. Berikut adalah antara ciri menarik yang disediakan:

Saga (2026) sekali lagi mendahului dengan skrin 9 inci yang lebih besar dan yang paling penting, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto TANPA WAYAR. Ini adalah ciri 'premium' yang jarang ditemui pada kereta bajet.
Saga juga menawarkan port pengecasan USB di belakang, menjadikan ia lebih mesra untuk penumpang belakang. Axia dan Bezza masih menggunakan sistem SmartLink atau sistem hiburan asas tanpa integrasi telefon pintar sepenuhnya.
Mana Satu Yang Paling Berbaloi Dari Sudut Harga Jualan Semula?

Nilai Jualan Semula (Resale Value/RV) adalah faktor yang ditekankan oleh sesetengah pembeli kereta, mungkin juga untuk pembeli kereta pertama yang merancang untuk membeli kereta lain yang lebih canggih di masa hadapan.
Jenama Perodua secara umumnya terkenal sebagai jenama dengan nilai jualan semula tinggi dan stabil jika dibandingkan dengan pesaingnya.
Permintaan yang tinggi dan konsisten untuk kereta Perodua dalam pasaran kereta terpakai membuatkan harganya kekal kukuh. Ini disebabkan oleh reputasi kebolehpercayaan, penjimatan bahan api dan kos penyelenggaraan yang rendah.
Jadi, Saga, Bezza Atau Axia?
Pilihan "Raja Kereta Bajet" yang sempurna bergantung sepenuhnya pada keutamaan peribadi anda:

Keputusan bergantung kepada apakah yang anda inginkan sebenarnya… Tepuk dada, tanya selera. Diharapkan artikel ini dapat membantu anda untuk membuat keputusan yang terbaik.
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv
Nombor Plat JPJ Terbaru
KUALA LUMPUR
VQC7594
SELANGOR
BSK6752
JOHOR
JYM4329
PULAU PINANG
PRW4139
PERAK
APD2017
PAHANG
CFE3907
KEDAH
KGD3488
NEGERI SEMBILAN
NEH8169
KOTA KINABALU
SJP1955
KUCHING
QAB7089M
Terakhir Kemas Kini 07 Dec, 2025
Harga Bahan Bakar
Petrol
RON 95
RM 2.66
+0.03
RON 97
RM 3.29
+0.03
RON 100
RM 5.00
VPR
RM 6.23
Diesel
EURO 5 B10
RM 3.08
EURO 5 B7
RM 3.28
Terakhir Kemas Kini 04 Dec, 2025
Berita Berkaitan
SUARA PENULIS: Nak Beli Kereta Baharu, Baca Ini!
Tahun 2024, mungkin sudah ramai yang sudah memasang niat untuk membeli kereta idaman mereka? Betul ke.
05-01-2024
Ramai Betul Minat Kereta PERODUA!
Kira-lira 4.5 juta kereta PERODUA berada di jalan raya Malaysia sejak 1994 hingga Jun tahun ini.
15-08-2023
Perodua Axia 2023, Lebih Besar, Lebih Canggih Sebab Itu Lebih Mahal
Pada minggu lepas penulis berpeluang menikmati pemanduan Perodua Axia 2023 selama tiga hari bagi menyelami jentera ini dengan lebih mendalam.
16-03-2023
Kembar Axia, Ayla, Agya Dilancar Di Indonesia
Kembar Perodua Axia 2023, Daihatsu Ayla dan Toyota Agya ditayangkan secara umum pada pameran Gaikindo Jakarta Auto Week (GJAW) di Indonesia kelmarin.
15-03-2023
Perodua Axia 2023 Serba Baru | Lebih Besar & Selamat, Bakal Mencabar Myvi
Perodua Axia 2023 Serba Baru | Lebih Besar & Selamat, Bakal Mencabar Myvi
14-03-2023
Generasi Seterus Perodua Bezza "MUNGKIN" Macam Ini?
Perodua mungkin akan melancarkan Perodua Bezza 2023 pada tahun ini.
15-02-2023
Belum Sebulan, Perodua Axia 2023 Terima 20,100! Serahan Kepada 2,900 Pelanggan Terawal Bermula
Axia keluaran 2023 ini telah menerima sejumlah 20,100 tempahan sejak tempahannya dibuka pada penghujung Januari lalu.
14-02-2023
Berita Terkini
Raja Kereta Bajet Bawah RM50,000 Tahun 2026: Saga, Bezza Atau Axia?
Menjelang tahun 2026, persaingan menjadi lebih sengit dengan kehadiran Proton Saga MC3 (2026) yang menawarkan peningkatan ketara berbanding versi terdahulu. Jadi sejauh mana Proton Saga boleh mengalahkan pesaingnya, Bezza dan Axia?
08-12-2025
Jangan Ke Thailand Tanpa Insurans Ini... Belajar Daripada Tragedi Banjir Hat Yai
PIAM nasihatkan pemandu ke Thailand membuat semakan semula perlindungan insurans selepas banjir di Hat Yai. Tambah Endorsemen 101 & 57 untuk perlindungan semasa berada di luar negara, termasuk risiko banjir kilat.
04-12-2025
Tragedi Kereta Terjunam Ke Dalam Sungai: Public Health Malaysia Kongsi Tips Jika Kereta Terjunam Ke Dalam Sungai
Public Health Malaysia berkongsi tips sekiranya kereta terjunam ke dalam sungai selepas tragedi enam beranak maut di Sungai Korok, Jitra, Kedah.
07-07-2025
MIROS: 7 Tips Cara Selamat Untuk Memandu Ketika Hujan
Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menggesa semua pengguna jalan raya memandu secara berhemah terutama ketika musim hujan
02-09-2024
Ini 10 Cara Untuk Elak Lupa Anak Dalam Kereta
Ini 10 perkara penting yang boleh disematkan dalam kehidupan sebagai ibu bapa dengan anak kecil.
24-04-2024
Abang Bomba Tunjuk Cara Pegang Stereng Dengan Betul, Mungkin Ramai Dah Lupa
Masihkah anda ingat bagaimana cara pegang stereng kereta?
04-03-2024
Ini Yang Anda Patut Tahu Tentang Waranti EV
Mungkin ramai yang tidak mengendahkan mengenai waranti EV, jadi kami memberi sedikit tips untuk anda!
21-12-2023
Ambil Tahu Tentang Waranti Kereta Sebelum Beli! Ini Perkara Asas Yang Patut Anda Tahu
Rancang nak beli kereta baru? Baca artikel ini dulu!
04-12-2023
Tunjuk Lebih
trending_flat