- Berita
- Berita Auto
- Mitsubishi Menawarkan Pembelian Kereta Secara Dalam Talian
Ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi Motors di Malaysia melancarkan bilik pameran dalam talian hari ini.
Langkah itu diambil bagi membolehkan pelanggan melakuan penelitian atau membeli kereta keluaran Mitsubishi menerusi kaedah digital.
Ketua Pegawai Eksekutif MMM Tomoyuki Shinnishi berkata, pihaknya mengambil tindakan itu demi memastikan keselamatan para pelangganya ketika negara berhadapan dengan wabak Covid.
“Bilik pameran dalam talian adalah ketersambungan dari mengenali produk, pandu uji dan komunikasi dengan pengedar untuk proses pembelian.
“Kami juga kini menawarkan pembelian model Mitsubishi tanpa mereka perlu keluar dari rumah,” katanya.
Bilik pameran itu yang dilengkapi dengan pandangan 360° - darjah menawarkan sudut pandangan dari luaran dan dalaman termasuk membolehkan para pelanggan membesarkan dan mengecilkan imej daripada pelbagai sudut.
Terdapat satu butang interaktif yang menunjukkan lebih banyak maklumat terperinci mengenai sesebuah kenderaan selain terdapat galeri gambar yang memaparkan gambar dari pelbagai sudut.
Malah, bilik pameran itu juga menawarkan perkhidmatan tempahan pandu uji secara dalam talian Test Drive 2U dimana pelanggan boleh menguji kenderaan Mitsubishi dari rumah.
Test Drive 2U yang dilancarkan pada Mei 2020 membolehkan pelanggan memandu uji kenderaan pilihan tanpa perlu berkunjung ke pusat pameran fizikal, selain boleh memilih lokasi kegemaran bergantung kepada terma yang telah ditetapkan.
Bagaimanapun, pelanggan perlu mengikuti beberapa langkah di halaman bilik pameran itu bagi membolehkan pengedar sah MMM membawa kenderaan itu di lokasi yang dipilih.
Malah, pelanggan boleh menempah kereta Mitsubishi menerusi fungsi bantuan tempahan tanpa perlu berkunjung ke bilik pameran fizikal dengan hanya mengisi borang permohonan dalam talian.
Dalam perkembangan sama, MMM yang juga bekerjasama dengan myTukar turut menawarkan membuat promosi tukar beli menerusi pusat pameran dalam talian Mitsubishi.
Sehubungan itu, bilik pameran dalam talian Mitsubishi boleh dilayari menerusi laman web, https://www.mitsubishi-motors.com.my/onlineshowroom/.
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/