- Berita
- Berita Auto
- Tiga Fasa Lockdown Akan Bermula Selasa Depan!
Kerajaan akhirnya terpaksa akur untuk melaksanakan total lockdown atau penutupan penuh Fasa Pertama bagi semua sektor ekonomi dan sosial di seluruh negara bermula Selasa depan hingga 14 Jun ini.

Pejabat Perdana Menteri berkata, langkah itu diambil selepas mengambil kira penularan Covid-19 di Malaysia yang ketika ini sudah mencecah lebih 8,000 kes harian.
“Maka, sepanjang tempoh 14 hari, semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Setakat hari ini, seramai 2,552 orang telah meninggal dunia akibat wabak Covid-19 dan jumlah kematian semakin meningkat.
-full.jpg)
Kewujudan varian-varian baharu yang lebih ganas dengan kadar kebolehjangkitan tinggi dikatakan turut mempengaruhi keputusan pada hari ini.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, kenyataan itu berkata, kerajaan akan melaksanakan tiga fasa lockdown sekiranya penutupan Fasa Pertama berjaya mengurangkan kes Covid-19.
Selepas penutupan penuh fasa pertama, kerajaan akan melaksanakan lockdown Fasa Kedua selama empat minggu.
Dalam Fasa Kedua ini, kerajaan akan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan yang besar.
Langkah itu kemudian disusuli dengan Fasa Ketiga dimana kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan seperti yang berkuat kuasa pada masa ini .

Menerusi Fasa Ketiga nanti, kerajaan akan membenarkan hampir semua sektor ekonomi untuk beroperasi namun tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard manakala kehadiran pekerja secara fizikal di tempat kerja juga akan dihadkan.
Bagaimanapun, keputusan untuk beralih dari satu fasa ke fasa yang berikutnya akan tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Susulan pengumuman yang menggemparkan ini, Kementerian Kementerian Kewangan akan memperincikan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan.
Pengumuman mengenai pakej bantuan tersebut akan diumumkan dalam tempoh terdekat ini.

Di sebalik keputusan ini, jalan terbaik adalah duduk di rumah untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Namun, apakah pendapat anda mengenai keputusan ini? Jom, kongsi pendapat anda di bawah ruangan ini!
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/
