- Berita
- Berita Auto
- iCAUR V23 Versi CKD Sah Tiba Bilik Pameran Julai Ini

iCAUR Malaysia secara rasminya memperkenalkan iCAUR V23 versi pemasangan tempatan (CKD), sekali gus memperkukuh komitmen jangka panjang jenama itu dalam memacu pasaran kenderaan elektrik (EV) tanah air.
Model SUV elektrik yang membawakan reka bentuk kompak dan unik ini dijangka akan tiba di bilik pameran pengedar sah di seluruh negara menjelang akhir bulan ini.
Langkah strategik ini menyusuli pencapaian cemerlang iCAUR di Malaysia selepas berjaya meletakkan diri sebagai salah satu daripada tiga jenama teratas dalam segmen kenderaan elektrik bateri (BEV) bagi separuh pertama tahun 2026.
Pengeluaran Tempatan Bermula Julai 2026
Fasa pengeluaran bagi iCAUR V23 CKD ini dilaporkan telah bermula secara rasmi pada bulan Julai.
Langkah ini juga membolehkan jenama berkenaan mengembangkan footprint atau kehadiran pasarannya secara lebih agresif selain terus menawarkan sebuah EV beridentiti tersendiri yang praktikal untuk kegunaan harian masyarakat Malaysia.
Spesifikasi Kekal Padu, Harga Tidak Berubah
Bagi anda yang bimbang tentang perbezaan kualiti, iCAUR V23 iWD CKD disahkan mengekalkan spesifikasi mekanikal dan tahap kualiti pembuatan yang sama seperti versi import sepenuhnya (CBU) sebelum ini.
Paling menarik, harga jualan bagi varian pacuan semua roda pintar (iWD) ini juga dikekalkan pada RM132,780 (atas jalan, tanpa insurans), menjadikannya antara pilihan SUV EV pacuan empat roda paling kompetitif di pasaran saat ini.
Pengarah Kanan iCAUR Malaysia, Francis Chin menyifatkan CKD bukan sekadar satu pencapaian dalam pengeluaran, tetapi mencerminkan komitmen terhadap pasaran Malaysia. V23 membuktikan bahawa pengguna tempatan bersedia menerima EV yang mempunyai identiti dan personaliti tersendiri.
"Pemasangan tempatan membolehkan kami memenuhi permintaan pasaran dengan lebih cekap, memastikan bekalan yang lebih terjamin serta mengekalkan harga yang kompetitif tanpa mengubah karakter asal model ini,” katanya.
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/


