- Berita
- Berita Auto
- Sampai Bila Nak Biarkan Insiden Perancah Besi Runtuh Terus Berulang!
Sampai Bila Nak Biarkan Insiden Perancah Besi Runtuh Terus Berulang!
Perancah besi dilaporkan jatuh lagi tapi kali ini di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) pada Sabtu lalu
Insiden malang itu meragut nyawa seorang pekerja Bangladesh manakala, seorang lagi pekerja asing bernasib baik kerana hanya mengalami kecederaan ringan selepas terkena serpihan batu konkrit dan kerangka besi itu.

Ketika kejadian, kedua-dua mangsa dikatakan bekerja di bawah struktur besi itu sebelum ia secara tiba-tiba terjatuh dari ketinggian 12 meter.
Oleh itu, syarikat konsesi, Projek Lintasan Damansara Shah Alam Sdn Bhd (PLDSASB) diarahkan menghentikan serta-merta kerja membabitkan struktur sementara.
Sebaliknya, PLDSASB menegaskan insiden itu tidak membabitkan pengguna lebuhraya atau orang awam kerana ia berlaku di dalam kawasan pembinaan yang bertutup.
Untuk makluman semasa kerja menuang konkrit dijalankan, kawasan pembinaan ditutup sepenuhnya kepada pengguna seperti mana prosedur ditetapkan.
Malah, proses kerja perancah itu dikatakan menggunakan kaedah kejuruteraan sama membabitkan 14 lokasi di kawasan itu dan empat daripadanya telah berjaya disiapkan.

“Bagaimanapun, baki kerja membabitkan sepuluh lokasi hanya boleh diteruskan selepas laporan audit Jurutera Perunding Bebas (ICE) dikeluarkan,” kata PLDSASB dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan sama, Institut Jurutera Malaysia (IEM) menyuarakan pihaknya bersedia untuk menawarkan bantuan teknikal dan berkongsi idea yang berkaitan dengan kejuruteraan bagi membantu siasatan insiden itu.
Susulan itu, Kementerian Kerja Raya memberi tempoh seminggu kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan jurutera perunding iaitu Zaidun Leeng Sdn. Bhd (ZLSB) untuk menyediakan laporan lengkap berhubung insiden itu.

Seperti biasa, tubuh jawatankuasa dahulu, kemudian teliti dan kemudian bincang! Namun apa yang menjadi persoalan, sampai bila kerajaan mahu membiarkan insiden ini terus berulang dan terus meragut nyawa orang yang tidak bersalah?
Untuk makluman anda, ini adalah kemalangan yang berkaitan dengan lebuh raya ketiga tahun ini.

Pada 3 Mac lalu, sebuah lori treler merempuh perancah besi di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke), menyebabkan jambatan yang belum selesai runtuh menimpa sebuah van yang bergerak. Kejadian itu menyebabkan dua orang maut dan tiga lagi cedera.
Kemudian pada 22 Mac tahun ini juga, tiga pekerja pembinaan disahkan maut, manakala seorang lagi cedera apabila sebuah kren ‘launcher’ digunakan dalam projek pembinaan lebuh raya di Persiaran Alam Damai di sini, jatuh dan menghempap sebuah kenderaan.
Apakah pendapat anda mengenai insiden perencah besi yang sering runtuh di kawasan pembinaan lebuh raya? Kongsi pendapat anda di bawah ruangan ini!
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/