- Berita
- Kereta Baru
- Xingyue L Menawarkan Elemen Mewah Dan Paling Canggih
Geely Auto (Geely) yang merupakan jenama milik persendirian terbesar di China buat julung kalinya mempamerkan kenderaan utiliti sukan (SUV) mewahnya pada Pameran Auto Shanghai 2021 baru-baru ini.
Ia yang dinamakan sebagai Xingyue L dibina atas platform Arkitektur Modular Kompak (CMA).
Ia dijana dengan enjin petrol turbo 2.0 liter dengan suapan sistem suntikan bahan api terus yang dibangunkan secara bersama-sama antara Volvo dan Geely.
Enjin ini dipadankan dengan kotak gear jenis klac basah berkembar tujuh-kelajuan atau transmisi automatik lapan- kelajuan.
Terdapat dua talaan enjin iaitu versi enjin berkuasa tinggi dimana ia mampu menghamburkan kuasa 234 kuasa kuda dan tork 380Nm dan mampu memecut 0-100 kilometer sejam (km/j)dalam 7.9 saat.
Enjin kedua pula merupakan versi kuasa yang bersederhana dimana ia menghasilkan 214 kuasa kuda dan 325 Nm dan mampu memecut 0-100 km/j dalam 7.9 saat.

Dari segi dimensi kenderaan, ia dikatakan selebar 1,610 mm manakala jarak roda panjang pula 2,485mm.
Menjengah bahagian hadapannya, ia menampilkan ciri-ciri yang berani selain hadir dengan signaturnya iaitu masih mengekalkan konsep rekaan semesta (Expanding Cosmos) pada rekaan jeriji hadapan.
Ia juga dipadankan dengan tiga segmen lampu depan matriks dan terdiri daripada 126 lampu LED yang dapat dikawal secara individu.
Ini membolehkan kesan pencahayaan yang lebih terang.

Beralih ke bahagian belakang, terdapat lampu belakang jenis dot-matriks yang terdiri daripada 176 LED pada jentera ini.
Ketika melihat dari bahagian belakang kereta ini, lampu yang disambungkan untuk membentuk satu jaluran menyebabkan ia memberi kesan cahaya yang berkaitan dengan kosmik pada jalur ini.

Ia dikatakan diinspirasikan oleh gambar klasik gunung dan aliran sungai yang mewakili SUV ini menyebabkan ia menimbulkan panorama sedap mata memandang di ruangan kokpit.
Sistem infotainmen adalah sepanjang satu meter. Geely Xingyue L mempunyai bahagian dalaman 2 tona manakala, tempat duduknya menggabungkan elemen tenunan klasik Cina.
Dari segi teknologi pula, Xingyue L dipadankan dengan sistem suara 10 speaker BOSE bersama teknologi pengurangan kebisingan dan kalis bunyi dua lapis bagi memengurangkan kebisingan enjin yang memasuki kabin.
Lampu dalamannya juga telah dikemaskini kerana ia hadir dengan 72 skema pencahayaan atmosfera yang berlainan warna.


Lebih menarik, lampu telah diprogramkan untuk bertindak balas terhadap mod pemanduan kereta.
Terdapat lima mod pemanduan iaitu Eco, Norm, Sport, Snow dan Offroad mod.
Xingyue L mempunyai akses ke ciri pemanduan autonomi tahap 2 selain dilengkapi dengan data berkelajuan tinggi 5G.
Bayangkan Xinglue L boleh dikatakan sebagai jelmaan manusia memandangkan ia boleh dipanggil dari tempat parkir dari 200 meter.
Malah, ia berupaya memandu sendiri mencari kawasan parkir dan meletakkan kereta itu secara automatik.
Menarik bukan?

Ia juga boleh diarahkan untuk mengambil pemandunya dalam jarak lingkungan 200 meter.
Mungkin ramai yang tertanya-tanya bilakah Geely akan melancarkan kereta ini di pasaran?
Malangnya, Xingyue bakal dilancarkan di pasaran China dalam tempoh terdekat ini.
Malah, terdapat laporan antarabangsa yang mendedahkan bahawa syarikat itu berhasrat untuk memasarkan Xingyue L di pasaran global.
Apakah pendapat anda mengenai SUV canggih ini? Kongsikan pendapat anda di bawah ruangan ini!
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/
