- Berita
- Tips
- Cara & Tips Guna Kereta Automatik
Kereta yang menggunakan transmisi automatik sudah pastinya melegakan pemandu yang baru dapat lesen atau bagi yang tinggal di kota raya.
Manakan tidak, kereta automatik bukan sahaja mudah digunakan malah menjadikan pemanduan itu lebih santai.
Untuk itu, kebanyakan kereta ketika ini didatangkan dengan transmisi automatik namun ia tidak semudah yang anda lihat kerana masih ramai pemandu didapati menukar gear auto secara tidak betul.
Oleh itu, Caricarz menyenaraikan lima perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh pemandu yang menggunakan kereta transmisi automatik.
Pertama sekali ialah ketika anda turun bukit.
Mungkin ada yang berpendapat dengan meletakkan tombol gear pada N (Neutral) ketika turun bukit, ia menjimatkan minyak anda?
Sebenarnya, anda salah!
Apabila anda menggunakan gear Neutral ketika turun, anda sebenarnya akan kehilangan kawalan penuh kenderaan anda.
Tambahan pula, tanpa sebarang brek enjin, tekanan atas brek kereta menjadi sangat hebat.
Yang kedua, jangan gunakan gear Neutral di lampu isyarat atau ketika kesesakan jalan raya. Pendek kata, anda tidak perlu meletakkan kereta anda pada gear Neutral jika berhenti untuk seketika.
Ini berikutan perbuatan itu hanya menyebabkan tekanan pada kotak gear. Jadi adalah lebih baik anda meletakkan pada gear D (Drive) sahaja.
Untuk makluman anda, dengan menukar gear Neutral kepada Drive secara berulang kali sebenarnya tidak menyebabkan kerosakan pada kotak gear sebaliknya, shifter bushing dan pin akan menjadi lebih haus.
Ini adalah satu perkara yang perlu dibimbangkan jika kenderaan anda rosak.
Yang ketiga ialah jangan tukar gear ketika kereta anda sedang berhenti. Ini bermakna, sebelum tukar gear dari Drive ke R (Reverse) atau sebaliknya, pastikan kereta itu telah berhenti dengan sepenuhnya.
Jika anda tidak mengikuti langkah itu, ia akan hanya menyebabkan transmisi berkenaan rosak teruk.
Sementara itu, yang keempat ialah jangan pandu kereta anda dengan menggunakan tayar ganti dalam tempoh terlalu lama.
Kebanyakan kereta didatangkan dengan tayar ganti hanya untuk sementara waktu. Jika menggunakan tayar ganti melebihi tempoh masa, ia hanya merosakkkan dan turut memberikan tekanan hebat pada transmisi anda.
Sudah pastinya, yang kelima jangan membawa muatan secara berlebihan. Ini kerana beban berat itu akan membuatkan enjin menjadi mudah panas.
Malah, jangan tunda atau membawa barang berat kerana semua ini akan menyebabkan sistem gantungan dan transmisi akan mudah haus.
Kini, kita beralih kepada perkara-perkara yang boleh dilakukan. Yang pertama, tingkatkan kelajuan anda secara perlahan-lahan bukannya secara mengejut.
Misalnya, hidupkan kenderaan anda dengan menolak gear kepada posisi Neutral dan kemudian menukar kepada Drive.
Seterusnya, sentiasa periksa minyak transmisi bagi memastikan paras minyak itu mencukupi. Dengan berbuat demikian, anda boleh mengenal pasti sama ada terdapat sebarang kebocoran lebih awal selain boleh mengelakkan lebih banyak kerosakan yang akhirnya akan menyebabkan kos yang mahal.
Untuk makluman, kualiti minyak transmisi hendaklah berwarna merah terang, jernih dan berbau harum.
Apa yang penting guna jenis minyak transmisi yang betul.
Tahukah anda melakukan pemeriksaan diagnostik pada enjin adalah seolah-olah seperti kita membuat pemeriksaan kesihatan.
Tujuan pemeriksaan ini adalah untuk memastikan ia berada dalam keadaan baik selain jika mempunyai sebarang masalah, ia boleh dibaiki dengan cepat pada kadar berpatutan.
Lazimnya, jika anda gagal melakukan penyelenggaraan secara berkala, anda hanya akan membuang duit. Kenapa buang duit?
Andai kata, komponen kereta rosak teruk, sudah pastinya ia akan menelan kos yang tinggi untuk dibaiki.
Jadi, jangan biarkan anda melengahkan masa untuk melakukan penyelenggaran berkala!
Akhir sekali ialah panaskan enjin kereta sebelum anda memandu memandangkan ramai di antara kita lebih dilihat sebaik melabuhkan punggung di tempat duduk, mereka lantas memasukkan gear ke 'Drive'dan terus bergerak.
Tahukah anda, dengan melakukan tindakan ini, anda seolah-olah sudah terus berlari pecut tanpa memanaskan badan.
Mungkin selepas ini, anda perlu memanaskan enjin selama beberapa minit sebelum melakukan pemanduan. Langkah ini perlu dilakukan terutama ketika cuaca sejuk.
Apapun, diharapkan tips Caricarz mengenai penjagaan dan penggunaan transmisi automatik ini dapat membantu meningkatkan jangka hayat transmisi kereta anda.
Apa yang paling penting, jangan lupa untuk memastikan penyelenggaraan secara keseluruhan pada setiap tahun!
Gallery






















Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Biarpun syarikat Utusan Melayu, tempat saya bekerja sudah ditutup namun semangat juang sebagai wartawan tetap mekar dalam sanubari