- Berita
- EV
- EV Serendah RM120K Akan Ditawarkan Di Malaysia – MITI
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menggalakkan agar lebih banyak kenderaan elektrik (EV) diperkenalkan untuk memajukan industri EV negara.
Timbalan Ketua Setiausaha Industrinya, Datuk Seri Norazman Ayub berkata pada suku kedua tahun ini negara akan menerima EV berharga serendah RM120,000.
“Kami menggalakkan pengimportan lebih banyak EV terutamanya dari China kerana kami mahu mempunyai EV yang mampu dimiliki oleh rakyat,” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada majlis makan malam ulang tahun platinum ke-70 Persatuan Elektrik dan Elektronik Malaysia.
Dari segi infrastruktur pengecasan, kerajaan menyasarkan untuk menyediakan sekurang-kurangnya 10,000 unit kemudahan pengecasan awam menjelang 2025.
“Kami akan bekerjasama dengan syarikat konsesi lebuh raya seperti PLUS Expressways Bhd untuk stesen pengecasan.
“Kami ingin menjemput mana-mana pelabur tertentu bagi melabur dalam stesen pengecasan untuk menjadi sebahagian daripada pembangunan ekosistem EV,” katanya.
Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Malaysia komited menarik lebih banyak pelaburan dalam industri EV demi mencapai sasaran negara dalam penghasilan kenderaan elektrik yang termasuklah model hibrid.
Dalam usaha untuk menggalakkan pembangunan ekosistem EV di negara ini, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan kini sedang merangka pekeliling yang dapat membuatkan proses kelulusan stesen pengecasan di peringkat kerajaan tempatan lebih mudah.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv