- Berita
- Berita Auto
- Sipi-Sipi Je Daripada Maut

Berpantang sebelum ajal!
Demikian yang terjadi kepada empat sahabat apabila mereka terselamat walaupun kereta yang dinaiki terputus dua dan remuk teruk.
Kemalangan ngeri itu berlaku di Kilometer 72, Jalan Kampung Saujana, Setiu, Terengganu, pagi tadi.
Melihat kepada Honda Civic yang dinaiki mereka, sudah pasti ramai menyangka pemandu dan penumpangnya mungkin tidak terselamat.

Namun benar ajal maut adalah rahsia Allah kerana keempat-empat itu terselamat walaupun ada di antara mereka patah paha manakala ada juga yang ditidurkan kerana kecederaan kepala.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Affandi Hussin.
Mangsa yang parah itu ialah Muhammad Syamil Khairul Ihsam, 20, yang patah paha kiri manakala rakannya, Syed Muhammad Fitri Syed Ahmad Yani, 20, ditidurkan akibat kecederaan kepala.
Menurutnya, dua lagi mangsa iaitu Muhammad Izzat Abdul Rohim, 20, dan Hafiz Azizi Harun, 20, pula mengalami kecederaan di kepala.

“Siasatan awal mendapati kereta jenis Honda Civic dinaiki empat sahabat itu yang dipandu Muhammad Syamil dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menuju ke arah Besut.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta itu telah hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah Proton Persona,” katanya.

Sementara itu, pemandu kereta jenis Proton Persona terlibat, Mohd. Redzuan Aisha, 47, dan penumpang iaitu isterinya, Saliha Hasan, 39, serta anak perempuan mereka, Nurul Fatihah Mohd. Redzuan, 6, turut mengalami kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/