- Berita
- EV
- Buat Peminat EV, Jom Tengok #1 Di Shah Alam
Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET) buat julung kalinya menayangkan model elektrik pertamanya, smart #1 kepada orang awam di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam bermula hari hingga esok.
Sebelum ia membuat penampilan umum di khalayak ramai, kami di CariCarz.com telah diberi akses awal untuk menyaksikan dengan lebih dekat smart #1 di ibu pejabat Smart Malaysia di Subang Jaya, baru-baru ini.
Untuk makluman anda, smart #1 ialah SUV segmen B serba elektrik yang dibangunkan hasil perkongsian daripada dua pemegang saham utama smart - Mercedes-Benz Group dan Geely Holding.
Bercakap mengenai SUV ini, ia menampilkan bahasa reka bentuk yang sangat unik dan cukup bergaya memandangkan isyarat reka bentuk sama seperti rekaan Mercedes-Benz dimana anda boleh melihat dengan jelas pada bahagian luarannya.
Menjengah bahagian luarannya, fascia hadapan smart #1 didatangkan dengan lampu depan LED CyberSparks yang bergaya dengan lampu nyalaan siang berbentuk Y yang agak menonjol.
Sebelum terlupa, lampu depannya ketika bernyala akan mengikut rentak muzik yang dimainkan.
Lampu ini dilihat merentangi kelebaran kereta lalu menghubungkan kedua-dua lampu berkenaan. Di bawahnya pula terletak gril hadapan tiruan pencahayaan serta diapit oleh sepasang saluran udara yang membantu meningkatkan lagi aerodinamik SUV ini.
Apa yang cukup menarik ialah mengenai pemegang pintunya dimana ia boleh diretrak dengan lampu panduan yang akan menyala sebaik kereta dibuka.
Dari sisi, anda boleh melihat siluet SUV ini adalah berkotak tipikal, dengan bahagian di atas garis tepinya semuanya warna hitam berkilat sekalu gus memberikan kemasan dua tona.
Bagi menonjolkan lagi gaya rekaan jentera ini, tingkapnya hadir tanpa bingkai di bahagian hadapan dan belakang.
Model dalam gambar ini ialah dari varian #1 Premium yang didatangkan rim aloi bersaiz 20 inci dan menggunakan tayar Continental EcoContact 6.
Memandangkan model ini hanyalah pratonton, maka Smart Malaysia masih belum mengesahkan spesifikasi terakhir pada persediaan dalaman dan trenkuasa #1.
Bagaimanapun, #1 yang ditayangkan ini adalah unit import sepenuhnya (CBU) daripada kilang di Xi'an, China dimana kami boleh menjangkakan spesifikasinya akan agak serupa.
Untuk varian Premium ini, ia dilengkapi dengan motor elektrik di belakang dimana ia boleh menghamburkan kuasa setakat 268 hp (200 kW) dan 343 Nm.
SUV comel ini mampu memecut dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya dalam 6.7 saat dan ia mampu mencapai kelajuan maksimum pada 180 km/j.
Difahamkan, kelajuannya dihadkan secara elektronik untuk mengekalkan jangka hayat baterinya.
Ia menggunakan platform Sustainable Electric Architecture (SEA) yang dibangunkan Geely menyokong bateri berkapasiti 400v dan 800v.
#1 yang disumbat dengan bateri lithium nickel manganese cobalt oxide (NMC) 66-kWh menyebabkan ia mampu menyediakan jarak perjalanan 440 km dalam kitaran WLTP.
Pek baterinya menyokong pengecasan AC berkapasiti 7.4kW dan pengecas pantas berkapasiti 150kW.
Menerusi pengecasan AC, baterinya boleh penuh dalam masa 10 jam manakala DC hanya mengambil 27 minit untuk penuh dari 0-80 peratus.
Buat masa ini, bahagian kabinnya masih belum didedahkan namun apa yang pasti, ia akan menawarkan ciri yang agak premium.
Menurut Smart Malaysia dan PRO-NET, #1 akan dilancarkan secara rasmi pada suku keempat tahun ini dimana ia mampu bersaing dengan Mercedes-Benz EQA, Volvo XC40 Recharge dan Volvo C40 Recharge.
Apa pula pandangan anda mengenai varian Premium #1. Kongsikan.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/