- Berita
- Berita Auto
- Kilang Bateri EV RM1.9 Bilion Dibina Di Kedah
Syarikat pengeluar bateri litium global, EVE Energy Co Ltd, telah secara rasmi mengumumkan majlis pecah tanah bagi kilang pembuatan terbaharunya di Kulim, Kedah, dengan pelaburan awal bernilai US$422 juta (RM1.924 bilion).
Menurut satu kenyataan bersama antara syarikat dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), kilang baharu ini, yang bakal menjadi kilang ke-53 EVE, akan memberi fokus kepada pengeluaran bateri litium ion silinder untuk menyokong alat kuasa dan jentera dua roda berkuasa elektrik di Malaysia dan seluruh Asia Tenggara.
Pengarah EVE Energy Malaysia Sdn Bhd, Joe Chen, menyatakan bahawa projek ini akan dijalankan secara berperingkat dengan tempoh pembinaan tidak akan melebihi tiga tahun.
"Ini satu peristiwa penting bagi EVE untuk mengembangkan perniagaan global kami, meningkatkan daya saing komprehensif dan mengembangkan lagi bahagian pasaran global kami.
"Bersandarkan kepada kelebihan domestik dan pengalaman operasi EVE, kami akan membina kilang pengeluaran bateri silinder di Malaysia untuk menyokong kenderaan beroda dua elektrik dan alatan kuasa di Malaysia," katanya.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pelaburan) MIDA, Lim Bee Vian, menyatakan bahawa projek ini sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Dasar Automotif Negara 2020 (NAP) yang menyasarkan pelepasan gas rumah hijau bersih-sifar menjelang 2050.
"Dengan pembinaan kilang pembuatan bateri silinder ini di Malaysia, ia menunjukkan komitmen kita terhadap daya saing di pasaran antarabangsa.
"Upacara hari ini menandakan peristiwa penting yang bukan sahaja memberi manfaat kepada EVE tetapi juga membuka jalan kepada lebih banyak syarikat untuk melabur di Malaysia dalam industri kenderaan elektrik (EV) dan ekosistemnya," tambahnya.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv