- Berita
- Teknologi
- Bateri Nuklear Sekecil Syiling, Tahan 50 Tahun Tanpa Dicas Bakal Digunakan Pada EV?
Bateri Nuklear Sekecil Syiling, Tahan 50 Tahun Tanpa Dicas Bakal Digunakan Pada EV?
Beijing Betavolt New Energy Technology Co. Ltd. telah mengumumkan kejayaannya menghasilkan bateri inovatif baharu, bateri bertenaga atom yang bersaiz mini. Pencapaian besar itu dibuat hasil gabungan teknologi pereputan (decay) isotop nuklear nikel-63 dengan modul semikonduktor berlian generasi keempat China.
BERTAHAN TANPA PERLU DICAS SELAMA 50 TAHUN
Bateri bertenaga atom daripada Betavolt ini dikatakan mampu menghasilkan tenaga yang stabil secara autonomi selama 50 tahun tanpa perlu dicas semula atas diberikan sebarang penyelenggaraan.
BAGAIMANA TENAGA BATERI BERTENAGA ATOM INI TERHASIL?
Bateri bertenaga atom atau turut dikenali sebagai bateri nuklear/radioisotop ini, mengumpulkan tenaga yang dikeluarkan daripada proses pereputan isotop nuklear dan menukarkannya kepada tenaga elektrik melalui penukar (converter) semikonduktor.
Bateri nuklear Betavolt merupakan sejenis teknologi yang fleksibel, yang mana bateri boleh digabungkan sama ada secara bersiri atau selari, bagi mendapatkan jumlah kapasiti yang berbeza.
SPESIFIKASI BATERI ATOM BETAVOLT
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Betavolt, Zhang Wei, mendedahkan bahawa produk yang pertama kali dihasilkan secara besar-besaran, BV100, adalah bateri nuklear pertama di dunia dengan kuasa 100 mikrowatt, voltan 3-volt dan saiz yang lebih kecil daripada syiling. Bateri ini, yang menghasilkan 8.64 joule sehari dan 3,153 joule setahun, berpotensi merevolusikan sumber tenaga untuk peranti seperti telefon bimbit dan dron.
TAHAP KETAHANAN BATERI NUKLEAR
Bateri tenaga atom Betavolt berbeza dari bateri elektrokimia, dengan kepadatan tenaga lebih dari sepuluh kali ganda bateri litium ternari. Dengan kapasiti penyimpanan 3,300 megawatt-jam dalam bateri 1 gram, bateri ini kalis api atau letupan, termasuk keadaan ekstrem seperti tusukan atau tembakan.
Bateri ini dapat beroperasi dengan stabil pada julat suhu antara -60 hingga 120 darjah Celcius dan tidak nyahcas sendiri.
SELAMAT ATAU TIDAK?
Bateri yang sedang dibangunkan Betavolt ini tidak megeluarkan sebarang radiasi. Isotop nikel-63 berubah menjadi isotop tembaga yang stabil dan tidak radioaktif, menjadikannya lebih selamat daripada bateri kimia biasa.
APA RANCANGAN BETAVOLT SEBAIK UJIAN BATERI SELESAI?
Pembangunan bateri ini, yang masih dalam peringkat ujian, dijadualkan akan memasuki fasa pengeluaran secara besar-besaran untuk digunakan pada pelbagai jenis peranti termasuk automotif, aeroangkasa, peralatan AI, peranti perubatan dan sebagainya.
Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet telah memberi tumpuan kepada teknologi tinggi ini sejak tahun 1960-an lagi, namun penggunaannya terhad kepada industri aeroangkasa dan ketenteraan berskala besar.
Kejayaan Betavolt melalui penemuan ini, menandakan peralihan ke arah teknologi hebat bersaiz mini untuk kegunaan komersial termasuk dalam kenderaan elektrik (EV), selari dengan trend global dan matlamat pembangunan China.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv