- Berita
- EV
- Kerajaan Pertimbang Tawar Lebih Banyak Insentif EV

Kerajaan Malaysia dijangka akan memperkenalkan lebih banyak insentif bagi kenderaan elektrik (EV) seiring dengan Pelan Induk Industri Baharu (NIMP 2030) dan program kenderaan elektrik bateri (BEV). UOB Kay Hian (UOBKH) Research mendedahkan pendekatan ini akan memberi manfaat kepada bukan sahaja pengguna, tetapi juga pengeluar, yang secara tidak langsung dapat meningkatkan ekosistem EV secara keseluruhan, lapor The Star.

Pada masa ini, jualan EV hanya menyumbang 0.4% daripada bahagian pasaran sepanjang tahun ini di Malaysia, tetapi UOBKH Research meramalkan ia akan meningkat kepada 0.7% tahun ini. Jenama-jenama seperti BYD, Tesla, Great Wall Motor Co Ltd, dan Neta sudah berada di pasaran Malaysia, dan lebih banyak lagi jenama EV dijangka akan tiba.

Walau bagaimanapun, sehingga kini, masih wujud cabaran untuk penjualan EV seperti harga yang tinggi dan infrastruktur pengecasan yang terhad. Pada pertengahan tahun 2023, hanya terdapat 1,063 stesen pengecasan EV awam di negara ini. Inisiatif daripada kerajaan cukup penting bagi membantu pertumbuhan ekosistem EV.

Selain itu, UOBKH Research memandang positif pengambilalihan Sime Darby Bhd terhadap pegangan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam UMW Holdings Bhd, yang dijangka akan selesai pada suku pertama tahun 2024. Pengambilalihan ini akan memperluaskan portfolio jenama Sime Darby dan memberi manfaat kepada UMW dalam sektor EV.

Harian Metro baru-baru ini melaporkan bahawa Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan mempertimbangkan cadangan pemberian insentif yang bertujuan menggalakkan pembelian kenderaan elektrik (EV) dalam Belanjawan 2024 akan datang.

Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, "Ini (insentif untuk menggalakkan pembelian EV di Malaysia) menjadi satu cadangan baik untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2024. Saya yakin Perdana Menteri (selaku) Menteri Kewangan memberi pertimbangan sewajarnya," katanya selepas merasmikan pembukaan Pusat Pengalaman rydeEV Yinson GreenTech.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
A Bachelor of English Language and Literature graduate with an obsession for the finer details. Sofea uses her background in translation to decode the technicalities of automotive innovation. She is dedicated to delivering impactful, meticulously researched articles that provide a narrative far beyond the spec sheet. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv