- Berita
- Global
- Chery Tiggo 7 Pro Raih ANCAP 5 Bintang! Lepas Ujian Ketat
Chery Tiggo 7 Pro raih skor penuh dalam ujian keselamatan ketat ANCAP
Chery Tiggo 7 Pro mencapai taraf lima bintang dalam Program Penilaian Kenderaan Baharu Australia (ANCAP). Model tersebut diuji berdasarkan kriteria ujian kemalangan ANCAP terkini yang diperkenalkan pada awal tahun ini. SUV yang bakal memasuki pasaran Malaysia ini merupakan model kedua daripada Chery yang berjaya menerima skor penuh selepas SUV segmen B, Chery Omoda 5.
Tiggo 7 Pro mencapai skor hampir 90% dalam pelbagai kategori
Tiggo 7 Pro merekodkan skor 88% untuk Perlindungan Pemandu Dewasa, 87% untuk Perlindungan Penumpang Kanak-Kanak, 86% untuk teknologi elak kemalangan Bantuan Keselamatan.
Sementara itu, untuk kategori Perlindungan Pengguna Jalan, SUV China ini berjaya meraih skor 72%, hanya 2% lebih tinggi daripada markah minimum (70%) untuk mendapatkan penarafan penuh lima bintang.
Tiggo 7 Pro terima hanya 2% lebih daripada skor minimum bagi kategori Perlindungan Pengguna Jalan untuk mendapatkan ANCAP lima bintang. Fuhh!
Dari segi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS), Tiggo 7 Pro mencatat prestasi yang baik dalam ujian Sistem Keselamatan Canggih, dengan markah penuh diberikan kepada Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS) untuk mencegah perlanggaran dengan kereta di lorong bertentangan. Bagaimanapun, SUV ini kehilangan beberapa mata untuk kedua-dua sistem brek kecemasan autonomi (AEB) dan LKAS dalam mencegah perlanggaran dengan motosikal.
Model ini menggunakan enjin petrol turbo 1.6 liter 4 silinder
Tiggo 7 Pro, yang dilancarkan di pasaran Australia awal tahun ini, dikuasakan oleh enjin petrol turbo 1.6 liter 4 silinder yang dipadankan dengan transmisi CVT, memberikan kuasa sebanyak 184 HP dan tork 275 NM kepada roda hadapan (FWD).
Enjin yang digunakan membekalkan kuasa sebanyak 184 HP dan tork 275 NM
SUV generasi kedua ini mempunyai dimensi 4,500 MM panjang, 1,842 MM lebar, 1,746 MM tinggi, dengan jarak roda 2,670 MM. SUV ini ditempatkan sebagai kenderaan segmen C dalam barisan model Tiggo, yang juga merangkumi model seperti SUV-D Tiggo 8 Pro, yang telah dilancarkan di Malaysia dan SUV-B Tiggo 4 Pro yang lebih kecil.
Tiggo 7 Pro merupakan sebuah kenderaan segmen C meletakkannya sebagai pesaing terdekat kepada model-model seperti Honda CR-V dan Mazda CX-5
Ditawarkan pada harga bermula dari AU$37,030 (RM117,010) di pasaran Australia, Tiggo 7 Pro menjadi alternatif yang menarik untuk model SUV-C yang lebih terkenal seperti Honda CR-V, Mazda CX-5 dan Hyundai Tucson.
Walaupun Chery Malaysia telah menunjukkan kecenderungan untuk membawa masuk model ini ke pasaran tempatan, Tiggo 7 Pro masih belum membuat kemunculan rasmi setelah lebih setahun sejak acara pengenalan awalnya diadakan.
Memandangkan syarikat ini kini sedang lebih banyak memberikan tumpuan kepada pelancaran SUV elektrik Chery Omoda E5 dan sub-jenama baharu, Jaecoo, mungkin masih lambat lagi kita dapat melihat kedatangan Tiggo 7 Pro.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv